Belum masanya UMNO, BN desak Parlimen dibubarkan – Faisal Tehrani

UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya tergesa-gesa mendesak pembubaran Parlimen ketika kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mempunyai mandat untuk melaksanakan agenda reformasi serta menyelesaikan beberapa perkara penting demi kepentingan rakyat.

Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Faizal Musa berkata, kerajaan sedia ada yang diterajui Pakatan Harapan (PH) bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai mandat sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) yang dijadualkan berlangsung pada atau sebelum 17 Februari 2028.

Beliau yang merupakan penulis dikenali sebagai Faisal Tehrani berkata, masih banyak agenda yang perlu diselesaikan kerajaan, termasuk reformasi institusi dan tindakan susulan terhadap beberapa isu berkepentingan nasional sebelum rakyat kembali menentukan mandat politik negara.

“Masih ada reformasi yang belum dilaksanakan. Antaranya adalah usul memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Malaysia yang kini dalam proses perundangan menerusi pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan.

“Semua ini perlu berjalan terlebih dahulu. Mengapa (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi dan UMNO mahu tergesa-gesa?. Tidakkah mereka mahu rakyat Malaysia mendapat yang terbaik?” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO semalam dilaporkan mencadangkan supaya Perdana Menteri membubarkan Parlimen, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya umum bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.

Cadangan itu turut mencetuskan reaksi dalam kalangan pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan, khususnya apabila kedudukan BN dan UMNO dalam gabungan kerajaan sedia ada terus menjadi perhatian menjelang perkembangan politik semasa.

Mengulas lanjut, Mohd Faizal berkata, kerajaan juga sudah mengambil langkah menyelesaikan isu doktor kontrak menerusi Belanjawan 2027 apabila lebih 9,000 doktor kontrak akan diserap ke jawatan tetap tahun depan.

Katanya, tindakan susulan terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 juga sedang giat dilaksanakan selepas laporan penuhnya diterbitkan secara rasmi pada 29 Julai 2026.

Selain itu, tambah beliau, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu pengurusan serta pelaburan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Felda Investment Corporation (FIC).

Sehubungan itu, beliau berpandangan UMNO perlu menilai semula pendiriannya dalam kerajaan campuran dan tidak menjadikan desakan pembubaran Parlimen sebagai keutamaan ketika beberapa agenda penting masih dalam pelaksanaan.

“Jika Ahmad Zahid tidak bersetuju, mungkin beliau yang perlu membawa UMNO keluar daripada kerajaan campuran sedia ada memandangkan (Datuk Seri) Najib (Tun) Razak juga sudah berada di rumah,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here