SEORANG peniaga berusia 45 tahun berdepan waran tangkap selepas gagal hadir ke Mahkamah Sesyen Kajang hari ini, bagi menghadapi pertuduhan membuat hantaran komunikasi berbaur ancaman membabitkan institusi Diraja di Facebook pada Jun lalu.
Waran tangkap itu dikeluarkan Hakim Khainur Aleeza Ismail selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin.
Permohonan berkenaan dibuat susulan kegagalan lelaki itu memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), termasuk mengelak daripada menerima saman berkaitan pertuduhan berkenaan.
Terdahulu, Faten Hadni memaklumkan mahkamah bahawa orang kena saman (OKS) terbabit tidak menjawab panggilan telefon pegawai MCMC selain enggan keluar dari rumah untuk menerima saman berkenaan.
“Berdasarkan maklumat telekomunikasi, pegawai operasi telah pergi ke rumah OKS di Ampang, Selangor setelah mendapati bahawa OKS berada di kawasan alamat rumahnya.
“Pihak kami percaya OKS berada di dalam rumahnya memandangkan enjin motosikal yang berada di premis masih dalam keadaan panas, namun OKS enggan keluar dari rumah dan enggan menjawab panggilan bagi memberikan kerjasama,” katanya.
Mahkamah menetapkan 18 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Peniaga berkenaan sepatutnya didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, mahkamah juga boleh mengenakan denda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.





