SEORANG penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemandu teksi yang mayatnya ditemukan terapung di kawasan tali air dekat Kampung Permatang Pak Elong, bulan lalu.
Tertuduh, S Ganesan, 41, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Mohamad Faizal.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor BH.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Haron Chua Abdullah, 73, antara jam 2 pagi hingga 4 pagi pada 8 Oktober lalu, di laluan dari Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir hingga Jalan Permatang Pak Elong, Kepala Batas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 18 Disember ini untuk laporan kimia serta patologi.
Pada 11 Oktober lalu, seorang pemancing dilaporkan menemukan mayat lelaki berkenaan dalam keadaan tertiarap dan terapung di kawasan tali air berhampiran Kampung Permatang Pak Elong.
Penemuan itu dimaklumkan kepada polis sebelum mayat dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat.




