![]()
PRESIDEN Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mendakwa UMNO dan Pas menggunakan pendekatan politik berasaskan kaum yang menyerupai strategi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menerusi retorik ketuanan Melayu bagi meraih sokongan pengundi.
Beliau mendakwa, pendekatan itu mengambil kesempatan terhadap kedudukan orang Melayu sebagai majoriti penduduk di negara ini, sebagaimana Trump dikatakan memanfaatkan sentimen white supremacy dalam kalangan pengundi kulit putih di AS.
Dakwanya, Trump menggunakan slogan untuk menjadikan AS hebat semula selain mengetengahkan agenda berkenaan sehingga berjaya menewaskan Kamala Harris dalam pilihan raya Presiden AS.
“Trump mempromosikan white supremacy kerana orang kulit putih sebahagian besar daripada populasi AS.
“Beliau yakin AS akan menjadi hebat semula dan berjaya menewaskan Kamala Harris,” katanya ketika berucap pada ceramah Pakatan Harapan (PH) di Ayer Molek, Melaka malam tadi.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu mendakwa UMNO dan Pas turut menggunakan sentimen ketuanan Melayu dengan memainkan kebimbangan masyarakat terhadap kedudukan kaum itu bagi mendapatkan sokongan politik.
“UMNO dan Pas meniru (politik) white supremacy. Sebab orang Melayu adalah majoriti di Malaysia, mereka percaya memainkan sentimen ketuanan Melayu pasti akan memenangkan mereka dalam pilihan raya,” dakwanya.
Beliau turut mengkritik kecenderungan sesetengah pihak yang menurutnya menggunakan identiti kaum untuk mempertahankan salah laku individu, termasuk apabila membabitkan perbuatan mencuri.
“Apa saja yang dilakukan orang Melayu, kita patut maafkannya kerana dia Melayu. Walaupun orang Melayu itu mencuri, kita tetap perlu menyokongnya asalkan dia Melayu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohamad mendakwa kempen yang menggambarkan orang Melayu dan Islam sebagai terancam, termasuk menerusi dakwaan bahawa DAP mahu mengambil alih Malaysia, turut membantu pihak lawan meraih kemenangan dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.





