Program kerajaan negeri, pentadbiran Ab Rauf kukuhkan penerimaan pengundi terhadap BN -ILHAM Centre 

 

DUA  program utama kerajaan negeri, iaitu Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, muncul sebagai wadah penting dalam memperkukuh penerimaan pengundi terhadap pentadbiran Barisan Nasional (BN), kata Firma Penyelidikan bebas, ILHAM Centre.

Kedua-dua inisiatif ini berjaya menonjolkan pendekatan kepimpinan yang dekat dengan rakyat serta memberikan gambaran bahawa kerajaan negeri sentiasa hadir dalam kehidupan masyarakat.

Perkara itu dinyatakan dalam laporan kajiaa ILHAM Centre sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang disediakan oleh panel penyelidikan yang terdiri daripada Hisommudin Bakar (Pengarah Eksekutif), Prof. Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidikan), Mohd Azlan Zainal (Ketua Operasi), Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik), Mujibu Abd Muis (Felo Penyelidik) dan Dr Abdul Muqit Muhammad (Felo Penyelidik).

Menurut firma itu, pelaksanaan program berkenaan membolehkan kerajaan negeri membina hubungan langsung dengan pengundi melalui penyampaian bantuan, penyelesaian masalah setempat dan interaksi berterusan bersama masyarakat.

‘’Pengundi akhirnya tidak hanya menilai kerajaan berdasarkan janji pilihan raya, tetapi turut mengambil kira pengalaman mereka berurusan dengan wakil rakyat dan pentadbiran negeri,’’ kata firma itu.

ILHAM Centre berkata,  dalam konteks PRN Melaka, pendekatan yang menyentuh keperluan harian rakyat mempunyai nilai politik lebih besar berbanding perdebatan mengenai isu nasional yang jauh daripada kehidupan setempat. Pengundi lebih mudah mengaitkan manfaat yang diterima dengan kepimpinan kerajaan negeri, sekali gus memperkukuh persepsi terhadap keberkesanan pentadbiran BN.

‘’Keberhasilan kedua-dua program ini turut memperlihatkan kelebihan penyandang yang dimanfaatkan secara optimum oleh BN sepanjang tempoh pentadbirannya. Hubungan antara kerajaan negeri, wakil rakyat, jentera parti dan masyarakat telah membentuk jaringan penerimaan yang sukar ditembusi oleh parti lawan dalam tempoh kempen yang singkat,’’ kata firma tersebut.

Hasilnya kata ILHAM Centre,  dapatan kajian menunjukkan approval rating kepada Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berada pada aras cemerlang 86 peratus dan kerajaan negeri pada aras 85 peratus.

‘’Keadaan ini menjadikan rekod perkhidmatan dan kehadiran kerajaan negeri sebagai modal politik yang lebih berkesan berbanding tawaran perubahan yang dibawa oleh pembangkang. PH berdepan kesukaran mencabar persepsi positif tersebut apabila pengundi lebih cenderung mempertahankan manfaat yang telah mereka nikmati berbanding mengambil risiko terhadap tawaran baharu,’’ kata firma itu.

Dapatan ILHAM Centre menyaksikan jurang yang besar antara kemeriahan wacana politik di media sosial dengan realiti kecenderungan pengundi muda di lapangan.

Kata firma itu, pengaruh fear of missing out atau FOMO, budaya mengikut trend dan kandungan politik tular membentuk persepsi mereka, dengan gelombang biru dilihat lebih berjaya menarik perhatian segmen ini sepanjang kempen.

‘’Menerusi kajian ini, 21 peratus anak muda bawah 30 tahun belum membuat keputusan di peti undi ketika kajian ini dilakukan. Kumpulan ini sebahagian besarnya memaklumkan kepada kami mereka akan membuat keputusan pada saat-saat akhir. Mereka akan membuat penilaian dan mencari maklumat berkenaan calon dan parti bertanding.

‘’Kami berpandangan mereka ini juga akan bersama dengan gelombang biru. Namun, pengundi muda Melaka bukan kelompok yang seragam kerana kecenderungan mereka berbeza mengikut latar keluarga, pendidikan, pekerjaan dan lokaliti,’’ kata ILHAM Centre.

Menurut firma tersebut, walaupun media sosial menjadi sumber pendedahan utama kepada politik, tahap kefahaman terhadap dasar, calon dan dinamika kepartian masih terbatas dalam kalangan sebahagian peserta kajian.

‘’Pengaruh keluarga kekal dominan dalam membentuk pilihan politik anak muda meskipun mereka menganggap keputusan mengundi dibuat secara bebas. Kekurangan maklumat mengenai calon turut menyebabkan mereka lebih bergantung kepada jenama parti, kebiasaan keluarga dan tokoh tempatan yang dikenali berbanding penilaian mendalam terhadap tawaran politik,’’ kata firma itu.

Dari sudut keutamaan, ILHAM Centre menegaskan,  pengundi muda lebih pragmatik dengan memberikan perhatian kepada peluang pekerjaan, pendapatan, kos sara hidup dan kemudahan asas berbanding retorik politik.

‘’Kecenderungan pengundi muda Melayu masih lebih memihak kepada BN–PN, manakala pengundi muda Cina lebih dekat dengan PH, namun penerimaan bantuan kerajaan dan kecenderungan kepartian tidak semestinya membentuk kesetiaan politik yang berkekalan.

‘’Secara keseluruhannya, psikografi pengundi muda memperlihatkan kelompok yang mudah dipengaruhi arus semasa dan belum mempunyai keterikatan kepartian yang benar-benar kukuh, khususnya dalam kalangan pengundi kali pertama, pelajar dan anak muda bandar,’’ kata firma itu.

Kata firma tersebut, kelebihan BN–PN dalam gelombang semasa tidak menjamin kesetiaan jangka panjang kerana perubahan trend, kewibawaan calon dan keresahan ekonomi berpotensi mengubah kecenderungan kelompok ini pada pilihan raya akan datang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here