PM kagum kejayaan 11 murid asnaf cemerlang sekolah pedalaman Sabah

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kagum dengan pencapaian 11 murid asnaf cemerlang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Singgah Manis, Kinabatangan, Sabah yang berjaya mengharumkan nama sekolah di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan latar belakang serta lokasi sesebuah sekolah bukan penghalang kepada murid untuk mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Anwar berkata demikian selepas menerima kunjungan 11 murid berkenaan bersama tujuh guru mereka di Kompleks Seri Perdana, petang tadi.

“Saya kagum dengan kegigihan anak-anak dan guru-guru SK Singgah Manis. Dari sebuah sekolah di pedalaman Kinabatangan, mereka berjaya mencatat pelbagai kejayaan cemerlang di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Beliau turut menitipkan pesanan supaya murid berkenaan terus tekun menimba ilmu serta berani mengejar cita-cita bagi membina masa depan lebih baik.

Katanya, kejayaan yang dicapai kelak perlu dimanfaatkan bukan sahaja untuk membantu ibu bapa, malah turut menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Apabila berjaya kelak, ingatlah untuk membantu ibu bapa dan menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada guru-guru SK Singgah Manis yang tidak pernah mengenal penat lelah dalam mendidik, membimbing serta membina keyakinan murid untuk melangkah lebih jauh.

Menurutnya, kejayaan murid sekolah berkenaan mengukuhkan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap anak mendapat peluang pendidikan yang saksama tanpa mengira lokasi tempat tinggal.

“Kejayaan anak-anak SK Singgah Manis menguatkan tekad kita untuk memastikan setiap anak, walau sejauh mana pun mereka tinggal, mendapat peluang yang saksama untuk belajar, mengembangkan bakat dan mencapai cita-cita,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here