SEORANG wanita ditemukan meninggal dunia dengan kesan dipercayai dijerut pada bahagian leher dalam kejadian di sebuah rumah di Banting, Kuala Langat hari ini.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Pusat Panggilan Kecemasan MERS 999 kira-kira jam 1 petang.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa yang merupakan penduduk tempatan dipercayai dibunuh dengan cara dijerut di bahagian leher.
“Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan bagi membantu siasatan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih dalam peringkat siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.





