Ismail Sabri dokumenkan secara ilmiah cara urus COVID-19, berjaya terima ijazah PhD

BERJAYA mendokumentasikan pengalaman mengurus pandemik COVIC-19 secara ilmiah, Perdana Menteri Kesembilan, Dato’ Sri Dr Ismail Sabri Yaacob menerima ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam Majlis Konvokesyen Ke-39 selepas berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.

Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallahuddin menyampaikan ijazah Ph.D berkenaan dalam istiadat penuh bersejarah ini.

Dr Ismail Sabri antara 451 graduan yang menerima ijazah sarjana dan Ph.D masing-masing di Dewan Mu’adzam Shah, hari ini.

Ijazah Ph.D di UUM hari ini melakar kisah bagaimana seorang pembuat dasar negara kembali ke menara gading untuk mendokumentasikan pengalaman krisis negara dalam bentuk rujukan akademik buat generasi masa hadapan.

Daripada menerajui pentadbiran negara di tampuk kuasa tertinggi kepada berdiri di pentas akademik sebagai seorang sarjana, hari ini mencatat lembaran bermakna buat Perdana Menteri Malaysia ke-9, Dato’ Sri Dr. Ismail Sabri bin Yaakob.

Ismail Sabri dilahirkan di Temerloh, Pahang pada 18 Januari 1960 mencatatkan sejarah apabila berjaya menterjemahkan pengalaman sebenar mengemudi negara ketika waktu sukar ke dalam bentuk kajian ilmiah.

Tesis penyelidikan beliau bertajuk Pengurusan Krisis dan Polisi Keselamatan Kesihatan 2020 – 2022: Strategi Malaysia Menghadapi Pandemik COVID-19 diselia oleh Prof. Dr. Rusdi Omar dan Prof. Madya Dr. Che Mohd Aziz Yaacob dan Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw bertindak sebagai penyelia luar.

Tempoh masa yang dikaji dalam tesis tersebut merangkumi fasa genting ketika beliau sendiri berada di barisan hadapan pembuatan dasar negara, bermula sebagai Menteri Kanan Pertahanan (10 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021), diikuti Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan (7 Julai 2021 hingga 16 Ogos 2021), sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 dari 21 Ogos 2021 hingga 10 Oktober 2022.

Kejayaan menggenggam PhD pada tahun 2026 ini turut melengkapkan perjalanan intelektual beliau yang bermula lebih empat dekad lalu.

Sebelum menceburi dunia korporat dan politik, beliau merupakan graduan Sarjana Muda Undang-Undang LLB (Hons) dari Universiti Malaya pada tahun 1980 hingga 1984, dan seterusnya diterima masuk sebagai peguam (Admitted to the Bar) pada tahun 1985.
Sebelum ini juga, beliau pernah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Perubatan oleh Universiti Nihon, Jepun pada tahun 2022.

Mengimbas kembali perjalanan kerjayanya, beliau terlebih dahulu menerajui beberapa entiti penting sebagai Pengerusi Kompleks Sukan Negara (KSN) Bukit Jalil (2003–2006), Pengerusi Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd (2007–2008), serta Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PNS) pada awal tahun 2008 sebelum melangkah masuk ke dalam Jemaah Menteri.

Sepanjang lebih sedekad dalam pentadbiran kerajaan, beliau menggalas pelbagai portfolio kementerian termasuk Menteri Belia dan Sukan (2008–2009), Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (2009–2013), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2013–2015), serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (2015–2018).

Dinamika kerjaya politiknya turut menyaksikan beliau menggalas peranan sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia dari Mac 2019 hingga Februari 2020, di samping kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera sejak tahun 2004 serta pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden UMNO Malaysia (2018–2023).

Di sebalik komitmen pasca-pentadbiran sebagai Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia sejak Oktober 2021 serta penaung kepada beberapa pertubuhan serantau dan antarabangsa termasuk Pertubuhan UAV Dunia, Persatuan Muafakat One Belt One Road, dan Persatuan Rantaian Peruncitan & Francais ASEAN, beliau membuktikan bahawa kesibukan tugas awam bukan penghalang untuk terus menuntut ilmu.

Turut hadir menyaksikan majlis itu hari ini Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Ahli Lembaga Pengarah UUM, Dato’ Muhamad Khizri Abu Kassim.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here