LELAKI yang sebelum ini disyaki menyamar sebagai juruiring Raja Muda Selangor, Al Zulfadly Alias, 40, dihukum penjara setahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu berkaitan pembelian hartanah.
Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh dan memerintahkan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan.
Sementara itu, tunangnya, Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara bersama.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang tidak bekerja didakwa secara bersama menipu seorang selebriti lelaki menerusi tawaran pembelian aset hartanah sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM30,000.
Wang itu dipindahkan melalui dua transaksi kredit ke akaun bank milik Al Zulfadly pada 10 dan 12 Mei 2024 di Jalan Wangsa Delima 11, Wangsa Maju.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farhanah Arul Hisham, manakala Al Zulfadly diwakili peguam, Mohd Ridzwan Warisi dan Nurul Nur Syahirah diwakili Shah Rizal Abdul Manan.
Nurul Farhanah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap Al Zulfadly, manakala peguamnya merayu supaya hukuman penjara minimum dikenakan dengan mengambil kira tanggungjawab tertuduh menanggung ibunya serta pengakuan bersalah yang menjimatkan masa mahkamah.
Bagi Nurul Nur Syahirah, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Shah Rizal memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan masih ditanggung ibu bapanya.
Beliau turut memaklumkan anak guamnya sebelum ini berdepan pertuduhan lain di Mahkamah Majistret Shah Alam dan Klang serta empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Mahkamah membenarkan Nurul Nur Syahirah diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.





