ANGGOTA polis yang putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak lelaki bersenjatakan parang di Desa Aman Puri, Kepong, 11 November lalu, menunjukkan perkembangan positif apabila mula dapat merasakan jarinya selepas menjalani pembedahan menyambung semula tangan.
Lans Koperal Thierry Rodger Pendy, 26, kini ditempatkan di wad biasa di Hospital Kuala Lumpur (HKL), namun masih menerima pemantauan rapi doktor.
Perkembangan itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin selepas melawat anggota berkenaan hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat doktor pakar yang merawatnya, keadaan Thierry stabil walaupun masih kritikal.
“Alhamdulillah, berdasarkan maklumat daripada doktor pakar yang merawatnya, keadaan beliau menunjukkan perkembangan positif.
“Keadaannya stabil walaupun masih kritikal. Menurut doktor pakar, tempoh tiga hingga empat minggu diperlukan untuk pemulihan urat dan tulang, namun bukan bermakna beliau akan pulih sepenuhnya dalam tempoh itu,” katanya.
Noor Hisam berkata, Thierry memaklumkan sudah mula merasakan jarinya, namun belum sepenuhnya kerana masih menjalani rawatan.
Katanya, selepas tempoh tiga hingga empat minggu itu, doktor akan mempertimbangkan untuk membenarkan anggota berkenaan keluar hospital.
Beliau berkata, Thierry kini sedar, boleh berkomunikasi dan menunjukkan semangat tinggi walaupun mengalami kecederaan serius.
Menurutnya, jumlah pelawat turut dihadkan atas faktor klinikal, namun kunjungan dalam bilangan kecil dibenarkan bagi memberikan sokongan psikologi kepada anggota berkenaan.
Mengulas kemungkinan Thierry kembali bertugas, Noor Hisam berkata, perkara itu bergantung kepada penilaian pakar perubatan dan belum dapat dijangka.
Mengenai kebajikan keluarga, beliau berkata, pihak polis membawa ibu dan bapa Thierry dari Sibu, Sarawak, ke Semenanjung sehari selepas kejadian bagi membolehkan mereka berada di sisi anggota berkenaan.
Katanya, ibu Thierry kini berada bersamanya di hospital dan polis turut menguruskan kebajikan keluarga sepanjang tempoh pemulihan.
Lawatan kebajikan itu turut disertai Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid serta beberapa pegawai kanan JPJKK Bukit Aman.
Dalam kejadian 11 November lalu, Thierry cedera parah selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan dua parang ketika menjalankan tugas di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Kepong.





