Pemandu Nissan X-Trail langgar lampu merah, nyaris rempuh pelajar

PEMANDU kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah ketika melalui lintasan pejalan kaki berhampiran sebuah sekolah di Presint 14, Putrajaya berjaya dikenal pasti dan dikenakan saman.

Polis Daerah Putrajaya dalam kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil susulan aduan berhubung kejadian di Jalan Presint 14, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 14(1) dan Surau Al-Hidayah, semalam.

Menurut kenyataan itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya menjalankan siasatan sebelum mengenal pasti pemandu terbabit.

“Hasil siasatan, satu saman telah dikeluarkan atas kesalahan tersebut,” menurut kenyataan itu hari ini.

Terdahulu, kejadian berkenaan tular di media sosial menerusi video memaparkan seorang pelajar sedang menolak rakan sekolahnya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) melintas jalan sebelum mereka nyaris dilanggar sebuah kenderaan.

Dalam rakaman itu, sebuah Nissan X-Trail dilihat bergerak laju melepasi persimpangan walaupun lampu isyarat merah.

Susulan kejadian itu, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah pematuhan lampu isyarat, khususnya ketika melalui kawasan sekolah dan lintasan pejalan kaki.

“Jangan kerana ingin cepat sampai, keselamatan orang lain menjadi taruhan. Patuhi peraturan jalan raya dan jadilah pengguna jalan raya yang bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here