AJK UMNO Pandan mengaku tidak bersalah dakwaan hantar komunikasi jelik terhadap Anwar

SEORANG Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Pandan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik melampau terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lalu.

Syed Rosli Syed Harman, 50, yang juga Ketua UMNO Cawangan Pandan Tengah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan akaun TikTok bernama ‘syedroslijamalullail’ secara sedar untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik melampau terhadap Anwar dengan niat menyakitkan hati mana-mana orang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 10.50 pagi, 18 Mac 2025, manakala hantaran berkenaan dikesan pada hari sama kira-kira jam 8.30 malam di Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 233(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM500,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, selain denda RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Pegawai Pendakwa MCMC, Nazrul Nizam Mohd Zameri mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Uzair Rifqi Abdul Rahim yang mewakilinya memohon supaya jumlah itu dikurangkan kepada RM3,000.

Beliau memaklumkan anak guamnya bekerja sebagai pemandu e-hailing selain menjalankan perniagaan kecil-kecilan dengan pendapatan bulanan tidak tetap.

Katanya, Syed Rosli turut menanggung isteri dan dua anak berusia 20 serta tujuh tahun, selain memikul tanggungjawab menjaga bapa mentuanya yang sakit.

“Anak guam juga mempunyai masalah kesihatan iaitu darah tinggi dan diabetes yang memerlukan pemantauan serta pengambilan ubat secara berterusan.

“Dia tiada rekod jenayah lampau dan sentiasa memberikan kerjasama sepanjang siasatan dijalankan MCMC,” katanya.

Peguam itu turut memaklumkan pihak pembelaan akan mengemukakan representasi berhubung pertuduhan berkenaan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Mahkamah menetapkan 6 Januari depan untuk sebutan semula bagi membolehkan pihak pembelaan mengemukakan representasi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here