TIGA daripada tujuh individu yang ditahan berhubung kes pecah masuk sebuah premis pajak gadai membabitkan kerugian RM28.4 juta di Kota Tinggi akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi esok.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, keputusan mendakwa ketiga-tiga suspek itu dibuat selepas kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor semalam.
Menurutnya, dua suspek akan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, manakala seorang lagi akan dituduh mengikut seksyen sama dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat.
“Daripada empat lagi individu yang ditahan, seorang dibebaskan dengan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tata Cara Jenayah, seorang lagi dibebaskan untuk dijadikan saksi pendakwaan, manakala dua suspek dilepaskan tanpa syarat,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, kesemua tujuh individu terbabit terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia antara 29 hingga 48 tahun yang ditahan dalam operasi pada 7 dan 8 November lalu.
Dalam perkembangan berasingan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor turut membuka kertas siasatan terhadap semua suspek mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan pecah amanah jenayah.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad sebelum ini dilaporkan berkata, kejadian pecah masuk premis pajak gadai itu dipercayai dirancang bagi menghapuskan bukti kegiatan pecah amanah membabitkan pemajakan barang kemas palsu yang dipercayai berlaku sejak empat hingga lima tahun lalu.
Beliau berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 11.42 pagi 6 November lalu sebelum menahan tujuh individu berkenaan menerusi operasi di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru pada 7 dan 8 November.
Hasil tangkapan itu, polis merampas sebanyak 2,891 barang kemas pelbagai jenis, wang tunai RM27,371, dua resit pajak gadai, dua rangkaian kunci, dua beg silang serta sebuah telefon bimbit.
Siasatan awal mendapati barang kemas berkenaan dipercayai dipajak menggunakan identiti pemajak yang diragui bagi mendapatkan wang syarikat, manakala kejadian pecah masuk premis berkenaan dipercayai dilakukan untuk menghapuskan bukti kegiatan itu.





