Warga emas maut diserang harimau ketika mencari buluh

SEORANG lelaki warga emas maut selepas dipercayai diserang harimau belang ketika mencari buluh di kawasan hutan Lata Serai, Kampung Bawong, di Sungai Siput.

Mangsa, Ngah Itam, 65, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

ALLAHYARHAM Ngah Itam

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, beliau menerima berita kejadian itu daripada Ketua Balai Polis Lintang sebaik selesai menghadiri mesyuarat di Desaru, Johor.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang berkata, kejadian itu merupakan kes kedua membabitkan kematian penduduk akibat serangan harimau di kawasan Sungai Siput dalam tempoh hampir dua bulan.

“Pada 21 September 2026, seorang penduduk Kampung Takong, Pos Perwor, turut meninggal dunia selepas dipercayai diserang harimau ketika mencari rotan di hutan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sehubungan itu, beliau berharap pemantauan dan langkah keselamatan di kawasan berisiko dapat dipertingkatkan segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Beliau turut meminta penduduk Kampung Bawong dan kawasan berhampiran supaya sentiasa berwaspada, menjauhi lokasi kejadian serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

Dalam hantaran sama, Zolkafly merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk setempat atas bantuan dan kerjasama diberikan.

Beliau turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan keluarga mangsa diberikan ketabahan menghadapi kehilangan itu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here