SEORANG suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan memuat naik hantaran palsu berhubung dakwaan seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menuduhnya mencuri sarung pasport, Ogos lalu.
Tertuduh, Tun Nur Syalisa Muhamad Yusni, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu dengan mendakwa seorang pegawai Imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu menuduhnya mencuri sarung pasport.
Hantaran yang dibuat menerusi aplikasi Threads menggunakan akaun ‘LisaYusni’ itu didakwa bertujuan menyakitkan hati orang lain pada 21 Ogos lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Imigresen UTC Pudu Sentral, di sini, pada jam 9 pagi, 24 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin tempatan bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.
Bagaimanapun, peguam Mohammad Shafiee Afendi yang mewakili tertuduh memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan kepada RM3,000 atas alasan anak guamnya seorang suri rumah yang bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami.
Beliau berkata, suami tertuduh bekerja sebagai jurulatih peribadi dengan gaji kasar RM5,000 sebulan dan mempunyai komitmen bulanan kira-kira RM4,000.
Katanya, tertuduh juga mempunyai alamat tetap, ikatan keluarga yang kukuh serta tiada risiko melarikan diri.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin tempatan serta memerintahkan pasportnya diserahkan sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan penyerahan dokumen pada 11 Januari depan.
Pada 25 Ogos lalu, media melaporkan JIM membuat laporan polis berhubung hantaran seorang individu mengenai pengalamannya ketika berurusan di Pejabat Imigresen UTC Pudu yang tular di media sosial.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dilaporkan berkata, pihaknya mengambil maklum hantaran itu dan melakukan semakan dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Dalam hantaran berkenaan, wanita itu mendakwa dimalukan di khalayak ramai apabila seorang pegawai JIM menuduhnya mencuri sarung pasport.





