SEORANG lelaki yang menyamar sebagai pengawal peribadi sulit (ADC) Raja Muda Selangor, hari ini dijatuhi hukuman penjara 27 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam selepas mengaku bersalah menipu dua individu membabitkan penjualan kenderaan lelong bernilai RM73,000.
Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin menjatuhkan hukuman terhadap Al Zulfadly Alias, 40, dan memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan dijalankan secara berasingan bermula dari tarikh dia dituduh pada 12 dan 13 November lalu.
Tunangnya, Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan mahkamah menetapkan 19 Januari 2027 untuk sebutan kes.
Mengikut pertuduhan pertama, pasangan itu didakwa bersubahat dengan seorang lelaki berusia 43 tahun untuk menipu seorang lelaki berusia 48 tahun dengan memperdayakannya supaya mempercayai mereka mampu menguruskan pembelian sebuah Honda CR-V terpakai yang kononnya diperoleh menerusi lelongan sempena Sidang Kemuncak ASEAN pada harga RM33,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis antara 13 dan 14 Mei lalu mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 420 kanun sama.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menipu seorang wanita berusia 43 tahun dengan memperdayakannya supaya mempercayai mereka mampu menguruskan pembelian sebuah Lexus RX350 terpakai yang kononnya diperoleh menerusi lelongan sama pada harga RM40,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Sri Andalas, Klang, antara 13 dan 14 April lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua mangsa bertemu tertuduh dan tunangnya di sebuah restoran bagi mendapatkan maklumat berhubung penjualan kenderaan terpakai sempena Sidang Kemuncak ASEAN.
Dalam pertemuan itu, Zulfadly memperkenalkan dirinya sebagai ADC kepada Raja Muda Selangor dan mendakwa mampu menguruskan pembelian kenderaan berkenaan menerusi proses lelongan pada harga lebih rendah.
Kedua-dua mangsa kemudian membuat pembayaran masing-masing sebanyak RM33,000 dan RM40,000 ke akaun bank milik tertuduh, namun gagal memperoleh kenderaan yang dijanjikan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amirah Zahari memohon hukuman penjara bagi setiap pertuduhan dijalankan secara berasingan kerana kesalahan itu serius, selain tertuduh menggunakan penyamaran sebagai ADC Raja Muda Selangor untuk memperdaya mangsa.
Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Yong Kum Lam pula memohon hukuman penjara singkat atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan menyesali perbuatannya.
Pada 16 November lalu, Zulfadly dijatuhi hukuman penjara setahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah menipu seorang selebriti berhubung pembelian hartanah.
Keesokan harinya, dia sekali lagi dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan menipu seorang doktor wanita membabitkan RM155,000 berkaitan pembelian hartanah serta kenderaan mewah.





