SYARIKAT utiliti pelbagai bidang, YTL Power menafikan dakwaan bahawa pusat datanya di Johor membantu pemindahan unit pemprosesan grafik (GPU) Nvidia kepada pelanggan di China.
Dalam satu kenyataan, anak syarikat Kumpulan YTL itu menyifatkan laporan media yang mengaitkan pusat datanya dengan kontroversi berkenaan sebagai tidak benar, selain menegaskan dakwaan berkenaan bersifat spekulatif dan tidak berasas.
YTL Power berkata, pusat datanya menyediakan perkhidmatan penempatan bersama (co-location) kepada beberapa pelanggan global, termasuk syarikat penyedia perkhidmatan awan berskala besar dari Amerika Syarikat (AS), mengikut aturan yang mematuhi undang-undang domestik serta kawalan perdagangan AS.
Kumpulan itu turut memaklumkan pihaknya bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam pembangunan pusat data berkenaan serta mematuhi semua keperluan pelaporan dan import yang berkuat kuasa.
“Pelbagai laporan media mengaitkan YTL dengan kontroversi semasa membabitkan Nvidia, malah ada yang membayangkan pusat data YTL membantu pemindahan GPU Nvidia kepada pelanggan di China.
“Laporan spekulatif dan tidak berasas itu sama sekali tidak benar,” menurut kenyataan itu.
Pada 18 November lalu, The New York Times melaporkan pusat data YTL Power di Johor didakwa menjadi sebahagian daripada aturan yang membolehkan syarikat teknologi China, Alibaba mengakses cip Nvidia dari jarak jauh menerusi rangkaian syarikat serantau.
Menurut laporan itu, Alibaba bersetuju menjadi pelanggan Megaspeed International, yang menggunakan perjanjian berkenaan untuk mendapatkan pembiayaan bagi membeli cip Nvidia.
Megaspeed kemudian bekerjasama dengan pengendali pusat data, termasuk YTL, untuk menempatkan dan mengendalikan cip berkenaan, manakala anak syarikatnya, Speedmatrix didakwa mengendalikan cip Nvidia bagi pihak Alibaba di pusat data terbabit.
Pada Isnin lalu, pentadbiran Presiden AS, Donald Trump memperkenalkan sekatan baharu terhadap eksport cip ke pusat data luar negara yang membolehkan syarikat China mengakses cip kecerdasan buatan (AI) canggih bagi melatih model AI mereka.
Peraturan itu mewajibkan syarikat di Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Brazil memohon lesen eksport AS bagi mendapatkan cip paling canggih bagi mengelakkan penyalahgunaannya.





