SISTEM amaran kecemasan MySiren akan diuji di seluruh negara pada 29 November ini, antara jam 10.10 pagi hingga 10.30 pagi bagi membiasakan rakyat dengan bunyi amaran yang akan digunakan ketika berlaku bencana.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ujian itu akan menyaksikan rakyat Malaysia yang berada di dalam negara menerima amaran yang sama melalui telefon bimbit masing-masing.
“Sistem MySiren tidak memerlukan pengguna memuat turun sebarang aplikasi atau menggunakan data internet, selain tiada kos dikenakan kepada penerima amaran.
“Maklumat amaran akan disampaikan terus ke telefon bimbit melalui sistem telekomunikasi dan bukan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Bagaimanapun, bagi telefon bimbit bukan pintar, penyampaian amaran masih boleh dilakukan melalui SMS bagi memastikan pengguna peranti lama tidak tercicir daripada menerima maklumat kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sistem Amaran Awal Nasional MySiren di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya, sistem yang dibangunkan bagi melengkapi ekosistem amaran sedia ada itu telah menjalani ujian awal pada 19 November lalu dan kini boleh digunakan.
Fahmi berkata, akses kepada sistem berkenaan akan diperluaskan kepada beberapa agensi termasuk Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, sistem itu membolehkan amaran disampaikan secara lebih bersasar kepada penduduk di kawasan terjejas, termasuk ketika berlaku banjir atau bencana setempat.
“Sekiranya berlaku bencana setempat seperti banjir, penduduk di kawasan terjejas boleh menerima amaran melalui sistem MySiren supaya mereka dapat mengambil langkah berjaga-jaga.
“Kita juga akan memberikan akses kepada sistem ini kepada pihak MKN sekiranya terdapat maklumat yang perlu disampaikan kepada seluruh rakyat Malaysia, berdasarkan protokol yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, pesanan khidmat masyarakat mengenai ujian berkenaan akan disebarkan melalui pelbagai platform termasuk televisyen, radio, media sosial dan pawagam.
Fahmi berharap usaha memperkukuh sistem amaran awal itu dapat meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi musim banjir dan bencana yang akan datang.





