POLIS Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima sebarang laporan polis terhadap Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berhubung kenyataannya mengenai arahan penutupan sementara premis perniagaan di Kuala Terengganu ketika solat Jumaat, baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan sekiranya menerima laporan berhubung perkara berkenaan.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah memberikan penjelasan mengenai isu terbabit di Dewan Rakyat hari ini, manakala Poay Tiong turut mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.
“Seperti mana yang tuan-tuan semua sedia maklum, Perdana Menteri telah memberi penjelasan di Parlimen tadi berhubung dengan isu Ahli Parlimen Kota Melaka, jadi Ahli Parlimen Kota Melaka pun telah meminta maaf di atas kemungkinan kesilapan beliau dalam memberikan kenyataan.
“Jadi perkara ini kita pun tidak menerima sebarang laporan polis berhubung dengan isu ini dan kita berharaplah mana-mana individu juga supaya tidak menyentuh isu-isu yang melibatkan 3R.
“Kerana saya percaya isu-isu ini agak sensitif dalam kalangan rakyat kita yang berbilang kaum dan saya mengingatkan supaya perkara-perkara yang sebegini diberi perhatianlah pada masa-masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan Polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini, lapor Buletin TV3.
Perdana Menteri hari ini ketika menjawab isu berkenaan di Dewan Rakyat mengarahkan pihak berkuasa menyiasat seorang Ahli Parlimen yang didakwa mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti keagamaan ketika mengunjungi Terengganu, baru-baru ini.
Tanpa menamakan individu terbabit, Perdana Menteri menegaskan tiada pihak terkecuali daripada tindakan penguatkuasaan sekiranya membangkitkan isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R).
Beliau turut menyatakan ketidaksetujuannya terhadap kenyataan Ahli Parlimen berkenaan yang dilaporkan mempersoalkan arahan penutupan premis perniagaan bagi memberi laluan kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat.
Pada Sabtu lalu, Poay Tiong memohon maaf secara terbuka susulan hantaran media sosialnya berhubung arahan penutupan sementara premis perniagaan di Kuala Terengganu ketika waktu solat Jumaat.
Dalam kenyataan permohonan maaf itu, beliau mengakui kelemahan dalam penyampaian pandangannya, khususnya dari segi pemilihan kata dan nada sehingga menimbulkan salah faham, menyinggung perasaan serta mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat, terutama umat Islam.





