DATUK Seri Anwar Ibrahim mahu ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) negara terus diperkukuh bagi memastikan bidang berkenaan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.
Perdana Menteri berkata, perancangan strategik dalam sektor itu penting bagi memastikan keupayaan STI negara dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk menghasilkan penyelesaian terhadap pelbagai cabaran ekonomi, termasuk ketidaktentuan kewangan dan gangguan rantaian bekalan global.
“Mesyuarat Majlis Sains Negara (MSN) Bilangan 2 Tahun 2026 yang saya mempengerusikan hari ini menumpukan perhatian kepada usaha memperkukuh ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) negara agar terus menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi serta daya saing Malaysia.
“Perancangan strategik ini penting dalam memastikan keupayaan STI negara dimanfaatkan bagi menghasilkan penyelesaian terhadap cabaran ekonomi, termasuk ketidaktentuan kewangan dan gangguan rantaian bekalan global,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Anwar, antara perkara yang diberi perhatian dalam mesyuarat itu adalah usaha memperkukuh kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global (GII) menerusi penjajaran indikator sains, teknologi dan inovasi.
Selain itu, mesyuarat turut membincangkan pembangunan fasiliti Biofoundry Perubatan Regeneratif Nasional melalui kerjasama Bioeconomy Development Corporation (BEC) dan BioVerde Technologies Sdn. Bhd. (BVT) dari Sarawak.
Hala tuju pembangunan teknologi kuantum negara juga menjadi antara agenda perbincangan, selaras dengan keperluan memperluas penguasaan teknologi strategik yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi masa depan.
Anwar berkata, setiap inisiatif yang dirancang perlu diberikan perhatian dan dipantau secara berterusan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut garis masa ditetapkan.
“Saya mahu setiap inisiatif ini diberikan perhatian dan dipantau secara berterusan bagi memastikan pelaksanaannya mengikut garis masa yang ditetapkan, sekali gus membawa manfaat nyata kepada rakyat dan negara,” katanya.





