SEBUAH kereta Perodua Bezza dan motosikal terperosok ke dalam lubang dipenuhi air susulan paip utama pecah di Jalan Permas Utara, Johor Bahru, kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Chan San San berkata, kejadian berlaku selepas paip air utama berdiameter 900 milimeter (mm) pecah di bawah jalan, menyebabkan kerosakan pada permukaan laluan hingga membentuk lubang.
Menurutnya, insiden itu turut menyebabkan gangguan lalu lintas dari Permas Jaya menghala ke Plentong serta menjejaskan bekalan air di beberapa kawasan sekitar.
“Antara kawasan terjejas ialah Taman Plentong Baru, Kampung Sri Makmur, Flat Daisy, Flat Teratai, perumahan awam Plentong dan kawasan sekitarnya.
“Laluan terpaksa ditutup sementara bagi membolehkan kerja pembaikan paip dijalankan, namun kini sudah dibuka semula.
“Kerja pembaikan paip sudah siap dan bekalan air juga pulih,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.
Terdahulu, tular maklumat mengenai sebuah kereta dan motosikal terperosok ke dalam lubang berkenaan ketika melalui jalan itu kelmarin.
Bagaimanapun, kejadian itu tidak mengakibatkan kemalangan jiwa.





