PENDEKATAN penapisan filem yang lebih progresif tidak bermakna kerajaan akan melonggarkan kawal selia sehingga mengetepikan sensitiviti agama, kaum dan norma masyarakat.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penilaian kandungan filem perlu mengambil kira konteks penceritaan, nilai artistik serta kesesuaian umur penonton, selain memastikan keharmonian masyarakat terus dipelihara.
Menurutnya, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyokong pembangunan industri perfileman yang kreatif, berkualiti dan berdaya saing dengan memberi ruang kepada pengkarya meneroka idea serta mengetengahkan pemikiran kritis.
“Kerajaan berpandangan bahawa kebebasan berkarya dan tanggungjawab sosial perlu bergerak seiring. Usaha memperluas ruang kreativiti tidak seharusnya mengorbankan keharmonian masyarakat, sebagaimana usaha memelihara sensitiviti masyarakat tidak seharusnya membataskan kreativiti secara tidak wajar.
“Keseimbangan ini penting bagi memastikan industri perfileman negara terus berkembang secara matang, bertanggungjawab dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, semalam bagi menjawab pertanyaan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mengenai pendirian Kementerian Komunikasi terhadap cadangan pendekatan penapisan filem lebih progresif oleh FINAS.
Wan Razali turut meminta penjelasan sama ada garis panduan sedia ada akan disemak semula bagi memastikan kandungan karya, termasuk yang disiarkan menerusi platform penstriman digital, tidak melanggar batas sensitiviti agama dan kaum.
Mengulas lanjut, Fahmi menjelaskan, FINAS bertanggungjawab membangunkan industri perfileman negara, manakala urusan penapisan dan klasifikasi filem berada di bawah bidang kuasa Lembaga Penapis Filem (LPF), Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Katanya, pelaksanaan penapisan berkenaan tertakluk kepada Akta Penapisan Filem 2002 dan Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) 2024 yang memberi penekanan kepada tiga teras utama, iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan serta moral dan sosiobudaya.
“Dalam aspek ini, Kementerian Komunikasi melalui FINAS akan terus bekerjasama dengan KDN dan LPF bagi memastikan pendekatan penapisan dan klasifikasi filem kekal relevan dengan perkembangan industri, di samping memelihara kepentingan serta keharmonian masyarakat,” katanya.
Mengenai kandungan di platform penstriman digital, Fahmi berkata, Seksyen 2(3) Akta Penapisan Filem 2002 memperuntukkan bahawa penapisan di bawah akta itu tidak terpakai kepada filem yang ditayangkan melalui internet atau intranet.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pengecualian itu tidak bermakna kandungan digital terlepas daripada pemakaian undang-undang negara.
Katanya, Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan kawal selia kandungan dalam talian berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, termasuk melalui kerangka kawal selia kendiri industri berpandukan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
“Kod ini turut memberikan penekanan kepada aspek sensitiviti agama dan kaum serta kandungan yang boleh mencetuskan kebencian atau permusuhan dalam kalangan masyarakat.
“MCMC akan terus meneliti kesesuaian kerangka kawal selia dan garis panduan sedia ada, termasuk keperluan kawal selia kandungan melalui platform penstriman digital, supaya kekal relevan dengan perkembangan teknologi dan perubahan corak penggunaan kandungan oleh masyarakat,” katanya.





