4 Tahun MADANI: Kementerian Komunikasi perluas capaian internet, perkukuh keselamatan digital, berani berdepan platform media sosial

EMPAT tahun pentadbiran Kerajaan MADANI sejak Disember 2022 menyaksikan Kementerian Komunikasi memainkan peranan penting dalam mengubah landskap komunikasi dan digital negara, khususnya menerusi usaha memperluas capaian Internet, meningkatkan keselamatan pengguna serta memastikan platform media sosial lebih bertanggungjawab terhadap kandungan yang disebarkan kepada masyarakat.

Di bawah kepimpinan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, kementerian itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur telekomunikasi, malah memperlihatkan pendekatan lebih tegas dalam menangani ancaman jenayah siber, penipuan dalam talian, buli siber, eksploitasi kanak-kanak dan penyebaran kandungan memudaratkan.

Antara pencapaian paling ketara ialah peningkatan liputan Internet di kawasan berpenduduk melalui pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Liputan Internet yang sebelum ini berada pada 91.8 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA meningkat kepada 99.71 peratus setakat 31 Disember 2025.

Kejayaan itu bukan sekadar angka liputan, sebaliknya membawa perubahan kepada kehidupan masyarakat yang sebelum ini berhadapan kesukaran mendapatkan akses Internet, terutama penduduk di kawasan luar bandar, pedalaman dan penempatan terpencil.

 

Melalui JENDELA, pembangunan infrastruktur gentian optik, pembinaan menara telekomunikasi baharu serta naik taraf stesen pemancar dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Sehingga 30 Jun 2026, sebanyak 10.02 juta premis telah tersedia dengan capaian gentian optik, manakala liputan Internet di kawasan berpenduduk mencapai 99.73 peratus. Kelajuan median muat turun jalur lebar mudah alih turut meningkat kepada 154.37Mbps.

 Pencapaian ini menunjukkan usaha memperluas akses digital tidak hanya tertumpu kepada kawasan bandar, tetapi turut merangkumi komuniti yang sebelum ini berdepan jurang digital. Selain memperluas capaian, kementerian melalui MCMC turut memberikan perhatian kepada aspek keselamatan pengguna kerana peningkatan penggunaan Internet perlu disertai kesedaran mengenai risiko yang wujud di ruang digital.

Antara inisiatif penting ialah pelaksanaan Kempen Internet Selamat (KIS) yang bermula pada 21 Januari 2025 dengan sasaran meningkatkan pengetahuan dan keupayaan masyarakat menghadapi ancaman siber. Kempen yang dilaksanakan bersama sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan komuniti itu memberi tumpuan kepada beberapa isu utama termasuk buli siber, penipuan dalam talian, perjudian digital serta bahan penderaan seksual kanak-kanak.

Pendekatan turun padang digunakan bagi memastikan mesej keselamatan Internet tidak hanya disampaikan melalui kempen media, tetapi turut difahami oleh golongan pelajar, ibu bapa, guru dan warga emas. Skala pelaksanaan kempen itu turut memperlihatkan perkembangan memberangsangkan. Sehingga pertengahan September 2026, KIS merekodkan penyertaan kira-kira 2.8 juta peserta menerusi 10,903 sekolah dan IPT serta 3,882 program untuk masyarakat umum.

Angka itu menggambarkan usaha membina budaya penggunaan Internet secara bertanggungjawab sudah diperluas ke peringkat akar umbi. Peranan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) juga menjadi antara komponen penting dalam usaha memperkukuh literasi digital.

Melalui kemudahan dan program komuniti, NADI bukan sahaja menyediakan akses kepada teknologi dan perkhidmatan digital, malah membantu masyarakat mempelajari kemahiran keusahawanan dalam talian, menggunakan perkhidmatan kerajaan secara digital serta mengenali taktik penipuan siber. Sehingga Disember 2025, Perkhidmatan Pintar NADI merekodkan 1.4 juta penyertaan.

Bagaimanapun, antara perubahan paling besar dalam pendekatan Kementerian Komunikasi ialah keberanian membawa isu tanggungjawab platform media sosial ke peringkat pengawalseliaan. Kerajaan tidak lagi mahu syarikat teknologi antarabangsa menikmati keuntungan daripada pasaran Malaysia tanpa memberikan kerjasama sewajarnya apabila berhadapan kandungan yang melanggar undang-undang atau mengancam keselamatan pengguna.

Langkah memperkenalkan kerangka pelesenan kepada platform media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia menjadi titik penting perubahan tersebut.

 Berkuat kuasa 1 Januari 2025, platform yang memenuhi kriteria berkenaan diwajibkan mendapatkan lesen kelas di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Pendekatan itu bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan tertakluk kepada undang-undang negara, bukannya bertindak seolah-olah berada di luar bidang kuasa Malaysia.

Ketegasan Fahmi dalam perkara ini turut terserlah apabila beliau secara terbuka mengakui wujud platform yang memberikan kerjasama baik kepada MCMC, tetapi ada juga yang mengambil sikap tidak peduli terhadap aduan dan maklumat yang dikemukakan.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan akan meneruskan libat urus, namun pematuhan kepada undang-undang Malaysia bukan sesuatu yang boleh dipilih mengikut kepentingan perniagaan syarikat berkenaan.

Antara isu yang mendapat perhatian ialah kegagalan platfom tertentu menangani akaun palsu, kandungan penipuan dan penyalahgunaan identiti. Pada Mei 2026, Fahmi memberi amaran bahawa kerajaan melalui MCMC akan meneliti tindakan termasuk langkah perundangan terhadap Meta sekiranya syarikat itu terus gagal membendung kewujudan akaun palsu, khususnya yang menyamar sebagai institusi Raja-Raja Melayu.

Teguran itu memperlihatkan kerajaan bersedia menggunakan kuasa pengawalseliaan apabila kerjasama secara pentadbiran tidak memberikan hasil yang diharapkan.

Pendekatan lebih menyeluruh turut diterjemahkan melalui Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026. Akta itu memperkukuh tanggungjawab penyedia perkhidmatan berlesen dalam menangani kandungan memudaratkan dan melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak.

Antara perkara yang diberi perhatian termasuk kewajipan pengesahan umur, langkah keselamatan pengguna dan tindakan terhadap penyedia platform yang gagal mematuhi keperluan undang-undang. Kesungguhan kerajaan menangani penyalahgunaan teknologi turut dapat dilihat melalui tindakan terhadap kandungan manipulasi imej dan deepfake.

Berdasarkan maklumat yang dibentangkan di Parlimen, dari 1 Januari 2022 hingga 15 Januari 2026, MCMC mengemukakan 5,409 permohonan penurunan kandungan pemalsuan imej dan deepfake kepada penyedia perkhidmatan, dengan 4,955 atau 92 peratus daripadanya diturunkan. Ini menunjukkan usaha penguatkuasaan turut disesuaikan dengan ancaman baharu yang muncul daripada perkembangan kecerdasan buatan (AI).

Kemuncak ketegasan tersebut dapat dilihat menerusi tindakan terbaharu MCMC memfailkan dua saman terhadap Google LLC pada 25 November 2026 dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta berhubung dakwaan kegagalan menangani kandungan memudaratkan di YouTube.

Tindakan itu melibatkan isu perjudian dalam talian, penipuan serta penerbitan semula kandungan yang menjadi subjek injunksi mahkamah. MCMC memaklumkan lebih 50,000 kandungan memudaratkan memerlukan perhatian dan tindakan susulan pihaknya.

Daripada 74,703 laporan yang dikemukakan kepada YouTube antara 1 Januari hingga 28 Oktober 2026, sebanyak 4,950 tidak menerima sebarang maklum balas. Tindakan mahkamah itu merupakan mesej jelas bahawa platform antarabangsa juga perlu bertanggungjawab terhadap kewajipan undang-undang di Malaysia. Bagaimanapun, tuntutan tersebut masih merupakan dakwaan yang perlu diputuskan mahkamah.

Secara keseluruhannya, selepas hampir empat tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, pencapaian Kementerian Komunikasi tidak seharusnya diukur berdasarkan peningkatan liputan Internet semata-mata.

Keupayaan memastikan rakyat menikmati akses digital yang lebih meluas, meningkatkan kesedaran keselamatan dalam talian serta meletakkan tanggungjawab kepada syarikat teknologi antarabangsa merupakan antara perubahan penting yang sedang dibangunkan.

Cabaran seterusnya ialah memastikan setiap rakyat, tanpa mengira lokasi dan latar belakang, dapat menikmati manfaat teknologi tanpa terdedah kepada ancaman penipuan, eksploitasi dan penyalahgunaan platform.

 Dalam hal ini, ketegasan Fahmi dan MCMC membawa satu pendirian bahawa ruang digital Malaysia mesti kekal terbuka untuk pembangunan, tetapi tidak boleh menjadi ruang bebas tanpa tanggungjawab dan penguatkuasaan undang-undang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here