Enam Exco Negeri Sembilan angkat sumpah, tamatkan kemelut hampir empat bulan

ENAM Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan mengangkat sumpah jawatan hari ini, sekali gus membolehkan pentadbiran kerajaan negeri dibentuk semula selepas berdepan kemelut politik hampir empat bulan.

Empat daripada mereka mewakili Barisan Nasional (BN)/UMNO iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Suhaimi Aini; ADUN Senaling, Mohamad Qayyum Abd Jalil; ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir dan ADUN Repah, Koh Kim Swee daripada MCA.

DARI kiri, ADUN Repah, Koh Kim Swee (MCA); ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad (Wawasan) dan ADUN Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria (Pas)

Dua lagi ialah ADUN Gemas daripada Parti Wawasan Negara (Wawasan), Ridzuan Ahmad dan ADUN Bagan Pinang daripada Pas, Abdul Fatah Zakaria.

Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah jawatan itu berlangsung di Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah sebentar tadi, lapor BH.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menyempurnakan pelantikan berkenaan.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan kedua-dua putera baginda Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.

Hadir sama, Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Rembau dan Undang Luak Jelebu.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim mengumumkan nama enam ADUN yang dilantik menganggotai barisan Exco kerajaan negeri. Majlis istiadat itu turut dihadiri ADUN BN termasuk Datuk Seri Jalaluddin Alias (Pertang) dan juga ADUN daripada Pakatan Harapan(PH).

Ismail turut mengucapkan tahniah kepada semua ADUN berkenaan serta menjunjung kasih kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan atas perkenan pelantikan itu.

Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan yang berlangsung Ogos lalu menyaksikan BN memenangi 18 kerusi daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN tujuh, sekali gus diberi mandat membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu.

Sebanyak 10 Exco telah mengangkat sumpah jawatan 7 Ogos lalu, namun pelantikan mereka telah dibatalkan dan diwartakan.

ADUN yang terlibat daripada BN ialah Datuk Mohd Faizal Ramli (Linggi), Datuk Zaifulbahri Idris (Chembong), Datuk Mustapha Nagoor (Palong) dan Datuk Mohd Asna Amin (Lenggeng).

Selain itu, Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui), Siti Nur Umaira Hasim (Labu), Siow Kong Choon (Chennah) dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh).

Dua ADUN daripada PN ialah Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting) dan Datuk Razali Abu Samah (Sikamat).

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here