Tuanku Muhriz mahu Exco baharu tidak ulang kesilapan lalu

YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) supaya mengambil iktibar daripada kemelut yang berlaku sebelum ini dan tidak mengulangi perkara sama sehingga menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri.

Baginda bertitah, setiap Exco perlu memahami batas tugas serta bidang kuasa masing-masing dan tidak bertindak melampaui tanggungjawab yang telah ditetapkan.

“Beta tidak mahu perkara yang sama berulang sehingga boleh menjejaskan keharmonian, kestabilan dan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini.

Pada majlis istiadat itu, enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan yang baharu mengangkat sumpah jawatan sebagai Exco kerajaan negeri, sekali gus membolehkan pentadbiran kerajaan negeri dibentuk semula selepas berdepan kemelut politik hampir empat bulan.

Empat daripada mereka mewakili Barisan Nasional (BN)/UMNO iaitu ADUN Kota, Suhaimi Aini; ADUN Senaling, Mohamad Qayyum Abd Jalil; ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir dan ADUN Repah, Koh Kim Swee daripada MCA.

Dua lagi ialah ADUN Gemas daripada Parti Wawasan Negara (Wawasan), Ridzuan Ahmad dan ADUN Bagan Pinang daripada Pas, Abdul Fatah Zakaria.

Menurut Tuanku Muhriz, pelantikan sebagai Exco bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya turut membawa amanah dan tanggungjawab besar terhadap negeri serta rakyat.

“Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada wakil-wakil rakyat yang telah terpilih untuk menganggotai Exco pada kali ini.

“Pelantikan ini merupakan satu penghormatan, namun pada masa yang sama membawa tanggungjawab dan amanah yang besar kepada negeri serta rakyat,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda mahu semua Exco memberikan sepenuh perhatian terhadap portfolio masing-masing serta melaksanakan amanah dengan penuh komitmen, kebijaksanaan dan profesionalisme.

Tuanku Muhriz turut mengingatkan mereka supaya sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan memastikan setiap keputusan yang dibuat berlandaskan kesejahteraan negeri.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here