BEBERAPA portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan berkemungkinan digabungkan susulan pelantikan hanya enam Exco baharu, berbanding jumlah portfolio yang perlu diuruskan.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, beliau memerlukan masa sehari dua untuk meneliti kesesuaian pembahagian portfolio sebelum mengumumkannya.
Katanya, langkah menggabungkan portfolio yang mempunyai kaitan antara satu sama lain perlu dilakukan bagi memastikan urusan pentadbiran lebih mudah diselaraskan.
“Jumlah Ahli Majlis Mesyuarat yang diperkenankan setakat hari ini adalah enam orang, dan kita ada banyak portfolio dan mungkin saya akan terpaksa menggabungkan beberapa portfolio.
“Ini memerlukan kesesuaian berkaitan, maknanya portfolio yang berkaitan, jadi bagi saya masa sehari dua untuk membuat pengumuman tentang portfolio,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah hari ini.
Terdahulu, Ismail mengumumkan pelantikan enam Exco baharu yang berkuat kuasa hari ini.
Mereka ialah ADUN Kota, Suhaimi Aini; ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir; ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad; ADUN Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria; ADUN Senaling, Mohamad Qayyum Abd Jalil dan ADUN Repah, Koh Kim Swee.
Ismail turut memberi gambaran setiap Exco berkemungkinan diberikan tanggungjawab mengendalikan sekurang-kurangnya dua portfolio, bergantung kepada kesesuaian bidang tugas.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, mesyuarat Exco dijangka disambung seawal minggu depan selepas hampir dua bulan tidak diadakan.
Katanya, mesyuarat itu dicadangkan berlangsung pada Selasa dan Khamis bagi membolehkan pelbagai kertas yang tertangguh, khususnya berkaitan kepentingan rakyat, dibincangkan dengan segera.
“Banyak kertas-kertas yang tertangguh dan sebahagian besarnya melibatkan kepentingan rakyat, dan insya-Allah seawal minggu depan saya tetapkan pada hari Selasa dan Khamis,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 akan dibawa ke mesyuarat Exco akan datang untuk pengesahan.
Katanya, cadangan tarikh pembentangan belanjawan juga akan dibincangkan sebelum dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, untuk diperkenankan.





