Kasi Flex Sikit! 400 minyak hitam menanti pengunjung Program Yakin MADANI di Balik Pulau esok dan Ahad

SEBANYAK 400 unit minyak hitam motosikal disediakan menerusi program Jom Tukar Minyak Hitam – Kasi Flex Sikit yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sempena Program Yakin MADANI: Memaknai Harapan Rakyat Peringkat Pulau Pinang, di Politeknik Balik Pulau esok dan Ahad ini.

Unit Hal Ehwal Antarabangsa dan Komunikasi Korporat SKM dalam kenyataan memberitahu, inisiatif berkenaan menjadi antara tarikan utama program yang dianjurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri, bagi membawa pelbagai manfaat dan inisiatif kerajaan lebih dekat kepada masyarakat.

‘’Menerusi Jom Tukar Minyak Hitam – Kasi Flex Sikit, sebanyak 200 unit diperuntukkan setiap hari sepanjang dua hari program, yang berlangsung di Politeknik Balik Pulau, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung menikmati manfaat berkaitan penyelenggaraan motosikal dalam suasana program yang mesra komuniti,’’ kata kenyatan itu.

Menurut kenyataan tersebut, pengisian berkenaan mencerminkan pendekatan turun padang yang diketengahkan KUSKOP menerusi agensinya, SKM, dengan membawa aktiviti yang dekat dengan keperluan harian masyarakat, khususnya pengguna motosikal yang berdepan kos penyelenggaraan kenderaan.

‘’Program itu turut menampilkan penglibatan Kelab RXZ Wanita Malaysia pada Ahad, sekali gus menyuntik elemen komuniti dan permotoran dalam pengisian Yakin MADANI yang dijangka menarik kehadiran pengunjung daripada pelbagai latar belakang,’’ kata kenyataan tersebut.

Selain itu, kata kenyataan berkenaan, SKM turut menyelaras pengisian Food Truck Viral yang akan beroperasi sepanjang program berlangsung, dari jam 9 pagi hingga 6 petang, bagi menyediakan pelbagai pilihan makanan kepada pengunjung yang hadir bersama keluarga dan rakan-rakan.

‘’Kehadiran food truck turut memberi ruang kepada pengusaha makanan untuk memanfaatkan platform berkenaan dalam memperkenalkan produk dan sajian masing-masing kepada orang ramai, sekali gus menyokong aktiviti perniagaan serta membuka peluang menjana pendapatan,’’ kata kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu, gabungan pengisian Jom Tukar Minyak Hitam dan Food Truck Viral memperlihatkan bagaimana agensi di bawah KUSKOP turut memainkan peranan dalam menterjemahkan agenda Yakin MADANI melalui aktiviti yang bukan sahaja menarik perhatian masyarakat, malah menawarkan manfaat langsung kepada pengunjung dan pengusaha tempatan.

”Program Yakin MADANI: Memaknai Harapan Rakyat Peringkat Pulau Pinang berlangsung dari 28 dan 29 November di Kompleks Sukan Balik Pulau, dengan pelbagai pengisian lain melibatkan perkhidmatan kerajaan, aktiviti komuniti, peluang ekonomi, hiburan dan rekreasi untuk dinikmati orang ramai.

”Penduduk Pulau Pinang dan kawasan sekitar dijemput hadir bagi memeriahkan program berkenaan serta mengambil peluang menyertai pelbagai aktiviti dan inisiatif yang disediakan sepanjang dua hari penganjuran,” kata kenyataan berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here