SEMUA syarikat di Malaysia diminta menghentikan sebarang urusan perniagaan dengan entiti yang dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) bagi mengelakkan risiko komplikasi dalam aktiviti perdagangan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, arahan itu dikeluarkan susulan tindakan AS menyenarai hitam beberapa syarikat di Malaysia yang dikaitkan dengan isu cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia serta syarikat MegaSpeed.
Menurutnya, perkara berkenaan turut dibangkitkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Yang Berhormat Menteri MITI juga telah memberi beberapa maklumat susulan kepada pengumuman penyenaraian hitam sejumlah syarikat di Malaysia berkait dengan isu cip Nvidia dan syarikat MegaSpeed.
“Beliau memaklumkan bahawa syarikat-syarikat di Malaysia telah diarahkan supaya tidak mengadakan sebarang urus niaga dengan entiti yang disenarai hitam oleh pihak Amerika Syarikat bagi mengelakkan sebarang komplikasi dalam urusan perniagaan dan perdagangan mereka,” katanya.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian dalam sidang media Pasca Mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.
MITI dalam kenyataan pada 24 November lalu memaklumkan bahawa dua daripada tujuh entiti yang dimasukkan ke dalam Senarai Entiti Biro Industri dan Keselamatan (BIS), Jabatan Perdagangan AS, mempunyai kaitan dengan Malaysia.
Menurut kementerian itu, kedua-dua syarikat berkenaan adalah Speedmatrix Sdn Bhd dan MSFusion Sdn Bhd.
Speedmatrix pula dikenal pasti sebagai anak syarikat milik penuh MegaSpeed International Pte Ltd yang diperbadankan di Singapura.
Dalam perkembangan sama, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan mengeluarkan notis kepada semua pengendali pusat data di negara ini supaya tidak menawarkan kemudahan pengehosan, penyewaan ruang atau perkhidmatan kepada tujuh entiti yang disenarai hitam itu.
MITI turut menegaskan Malaysia tidak akan membenarkan wilayah negara digunakan sebagai laluan untuk mengelak kawalan eksport antarabangsa.
Kementerian itu juga memberi amaran tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang berkaitan.





