KEMENTERIAN Luar hari ini mengesahkan bahawa operasi membawa keluar semua rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir di Hatyai, selatan Thailand dan kawasan sekitarnya telah berjaya disempurnakan.
Menurut kementerian, seramai 6,222 rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan terkandas akibat banjir besar di negara jiran tersebut berjaya diselamatkan.
Dalam satu kenyataan, kementerian memaklumkan proses evakuasi dilaksanakan melalui usaha bersepadu yang melibatkan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
“Turut terlibat, lebih daripada 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk kumpulan sukarelawan Malaysia,” kata kenyataan itu.
Pada hari terakhir operasi, baki 12 rakyat Malaysia yang masih terkandas berjaya dibawa pulang ke tanah air melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam.


