SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dikhuatiri lemas dihanyutkan ombak di Pantai Batu Rakit, di Kuala Nerus petang ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.43 petang, sebelum menggerakkan 11 anggota ke lokasi kejadian.
“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika kanak-kanak berkenaan sedang bermain di tepi pantai bersama ibu saudaranya.
“Mangsa yang ingin membasuh kaki di gigi air dihanyutkan ombak sebelum hilang dan dipercayai lemas di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, lapor Bernama.
Menurut Azmi, operasi mencari dan menyelamat segera dijalankan untuk mengesan mangsa.
“Anggota melaksanakan pencarian di permukaan air di sekitar pantai. Setakat ini operasi masih diteruskan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.


