Abu Bakar, Marzita letak jawatan MPT Bersatu, fokus tadbir negeri

MENTERI  Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu bagi memberi tumpuan penuh kepada urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Turut mengambil langkah sama menyerahkan surat peletakan jawatan pada minggu lalu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena merangkap Exco kerajaan negeri, Marzita Mansor.

Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat berikutan kekangan masa untuk menghadiri mesyuarat di peringkat Pusat, selain mahu memfokuskan usaha membangunkan negeri memandangkan penggal pentadbirannya hanya berbaki lebih kurang setahun.

“Peletakan jawatan ini tiada kaitan langsung dan tidak menjejaskan kedudukan saya sebagai Menteri Besar Perlis. Saya melepaskannya semata-mata kerana tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya kepada MPT dalam keadaan kesibukan di Perlis ketika ini.

“Saya dan Marzita berbincang secara mendalam berhubung perkara ini. Kami memberi laluan kepada orang lain untuk terus berkhidmat di peringkat pusat, sementara kami memfokuskan perkhidmatan di negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis sambutan ketibaan pelancong dari Thailand sempena pembukaan semula laluan air jeti Kuala Perlis-Satun, di Kuala Perlis hari ini.

Menjelaskan kedudukannya di peringkat negeri, Abu Bakar berkata, beliau masih kekal sebagai ahli parti, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perlis dan Ketua Bersatu Bahagian Kangar dengan kebenaran Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, beliau menghormati kepimpinan tertinggi parti dan menafikan tindakan itu berpunca daripada tekanan mahupun niat untuk melompat parti.

“Keputusan ini tiada kaitan dengan kemelut politik Pusat mahupun niat untuk menyertai parti lain kerana kami masih terikat dengan Akta Antilompat Parti. Kami sentiasa mendapat layanan terbaik daripada Presiden dan ibu pejabat tanpa sebarang masalah.

“Fokus saya kini, selaku Ketua Badan Pimpinan negeri adalah untuk menyusun dan memulihkan semula ketiga-tiga bahagian Bersatu di Perlis, memandangkan banyak jawatankuasa di peringkat bahagian telah beralih arah,” katanya.

Menyentuh mengenai pentadbiran kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis itu komited untuk meneruskan perkhidmatannya seperti yang dititahkan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sehingga tamat penggal Dewan Undangan Negeri.

“Saya perlu memfokuskan usaha untuk menarik pelabur dan mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan dalam masa beberapa bulan ini. Insya-Allah, ada beberapa perancangan untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri yang akan dirangka dalam masa terdekat,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img