Abu Sahid hadapi 4 pertuduhan pecah amanah libat RM313 juta, 13 pertuduhan pengubahan wang haram RM139.2 juta

Pengarah syarikat pembinaan lebuh raya Tan Sri Abu Sahid Mohamed didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pecah amanah lebih RM313 juta dan 13 tuduhan pengubahan wang haram RM139.2 juta berhubung cadangan projek pembinaan lebuh raya MEX II.

Abu Sahid, 74, Pengarah Syarikat Maju Holdings Sdn Bhd, yang ke hadir ke mahkamah dengan  berkerusi roda mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1.5 juta dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai dan 3 Nov ditetapkan untuk sebutan kes, lapor Bernama.

Abu Sahid didakwa atas empat pertuduhan pecah amanah iaitu sebagai pengarah syarikat Maju Holdings Sdn Bhd diamanahkan dengan penguasaan wang milik Maju Holdings dalam akaun bank, telah melakukan pecah amanah dengan secara tidak jujur menyalahgunakan wang berjumlah lebih RM313 juta di sebuah bank di Bukit Tunku, Taman Tunku di sini antara 3 Mei 2016 hingga 21 Okt 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, mengikut pertuduhan pertama hingga ke-10 membabitkan pengubahan wang haram, Abu Sahid didakwa memindahkan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah keseluruhan RM116,449,536.12 daripada akaun bank miliknya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan.

Bagi tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abu Sahid didakwa telah melupuskan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah keseluruhan RM22,802,612.86 dengan membuat pengeluaran tunai melalui 17 keping cek daripada akaun miliknya di bank sama antara 4 Mei 2016 hingga 19 Sept 2018.

Abu Sahid didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah wang terlibat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib berkata pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju supaya jumlah jaminan dibenarkan pada kadar RM1.5 juta bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Ahmad Akram turut memohon supaya kes pecah amanah dan pengubahan wang haram dibicarakan bersama yang kemudiannya dibenarkan oleh Hakim Suzana.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Abu Sahid mengesahkan perkara itu selain tidak membantah permohonan pendakwaan agar kes berkenaan dibicarakan bersama.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img