Orang Melayu mahu rancangan masa depan, UMNO bukan rintihan emosi

ORANG Melayu sebenarnya inginkan keyakinan masa depan yang boleh UMNO tawarkan, bukan rintihan.

Sehubungan itu Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan mereka yang masih leka dibuai nostalgia diingatkan berhenti menjual sejarah, sebaliknya masa depan demi kelangsungan serta mengembalikan keyakinan rakyat

‘’Platform seperti sambutan ulangtahun parti bukan sekadar tarikh untuk mengenang atau mengimbau perjalanan panjang parti, sebaliknya detik untuk ahli merenung dan paling mustahak merencana masa depan,’’ katanya ketika berucap pada Konvensyen UMNO Ke-80 di Kual Lumpur hari ini.

Mohamad yang juga Menteri Luar Negeri berkata, dengan bernostalgia , ia tidak mungkin dapat membina masa depan rakyat, kerana beliau percaya dengan keberanianlah UMNO dapat melangkah ke hadapan.

Beliau berkata, orang Melayu sebenarnya inginkan keyakinan masa depan yang boleh UMNO tawarkan, bukan rintihan emosi.

“Ambillah pengajaran daripada parti lain di seluruh dunia yang seusia dengan kita. Ramai yang telah lupus. Yang masih ada, tidak lagi segah dan sekuat dahulu. UMNO tidak boleh kita biarkan sedemikian.

“Benar, kita telah melalui satu katarsis politik yang besar. Kita menyaksikan kesusutan sokongan rakyat dalam beberapa pilihan raya yang lalu. Kemuncaknya pada 2018. Saat kita tewas dan tergelincir daripada kuasa. Saat paling getir dalam sejarah UMNO.

“Kita diberikan eulogi. Kita diberikan ucapan belasungkawa. Malah, kita hampir ‘ditalkinkan’ oleh lawan dan juga oleh sebahagian daripada kita sendiri. Tetapi UMNO terus berkelangsungan. Ia tidak terkubur. Malah segala gelora dan badai yang UMNO tempuhi itu, telah dilayari dengan tekad yang utuh untuk merawat dan memulihkannya.

“Justeru gunakanlah medan dan arena sebegini untuk mencari ilham serta idea baharu lagi tuntas, bagi kelangsungan UMNO untuk seabad mendatang,” katanya .

 Mohamad berkata, saranan UMNO supaya keluar dari kepompong kelekaan kerana mengambil kira realiti semasa apabila mendapati orang Melayu tidak lagi semesra seperti dahulu terhadap parti.

Dalam banyak keadaan, tegas Mohamad, beliau tidak menolak UMNO seolah-olah terpinggir daripada naratif kejayaan mereka.

Tegasnnya,  hakikat itu mesti diakui dan diperbaiki, lantas menyarankan agar UMNO perlu ‘sedar diri’ dengan bertindak serta-merta mengembalikan keyakinan bangsa dengan prestasi, kejujuran serta pembaharuan yang nyata.

“Persoalan sekarang, apakah gagasan UMNO untuk masa hadapan? Malaysia yang bagaimana yang ingin kita bina? Melayu yang bagaimana yang ingin kita lahirkan?

“Dalam dunia yang semakin global dan digital, cabarannya jauh lebih kompleks. Bagaimana kita mahu melonjakkan keboleh saingan bangsa Melayu secara drastik? Memposisikan professional Melayu di peringkat antarabangsa? Mengangkat universiti kita menjadi institusi bertaraf dunia?

“Dalam masa sama, bagaimana kita mahu menangani dampak globalisasi dan digitalisasi serta menguruskannya untuk manfaat kelangsungan politik dan kepentingan sosio-ekonomi Melayu,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img