Ahli keluarga mangsa kemalangan maut harap siasatan menyeluruh,telus

AHLI  keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan melibatkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail Kuala Lumpur awal pagi tadi berharap siasatan menyeluruh dan telus dijalankan bagi memastikan keadilan diberikan kepada mangsa.

Mohd Nadzri Razali, 69, yang juga abang ipar kepada mangsa Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, berkata dia difahamkan semasa kemalangan berlaku lampu isyarat dipercayai merah ketika kenderaan Jabatan Imigresen melalui lokasi kejadian, namun perkara itu masih belum dapat dipastikan.

“Saya pun kalau boleh nak siasatan penuh, difahamkan ketika kejadian, lampur isyarat merah…kereta Imigresen itu lintas macam itu saja. Saya hanya minta keadilan pada adik saya dan mangsa yang lain,” katanya lapor Bernama ketika ditemui di kediamannya di Taman Aman Fasa 2, Mambang Di Awam Kampar, hari ini.

Sementara itu, Mohd Nadzri berkata adik perempuannya Norhayati Razali, 55, kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.

“Saya tak tahu, bergantung kepada keadaan dan pihak hospital. Kalau dibenarkan keluar, kami mahu bawa Norhayati pulang ke sini. Difahamkan dia sudah sedar dan kalau boleh, kami mahu dia dibawa ke Hospital Ipoh atau Teluk Intan bagi rawatan lanjut.

“Bagi jenazah, kita akan kebumikan mereka dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Air Hitam Labu, Kampar,” katanya yang mengetahui kemalangan itu sekitar 7 pagi tadi.

Dia yang tinggal berjiran dengan keluarga adiknya berkata kehilangan tiga ahli keluarga dalam kejadian itu amat mengejutkan, lebih-lebih lagi keluarga mereka baru sahaja berdepan kehilangan seorang lagi ahli keluarga pada 30 Mei lepas.

“Baru tiga bulan… lepas itu anak saudara pula dengan adik ipar. Bila dengar tiga orang (meninggal dunia) itu sedihlah,” katanya yang bertemu mangsa kira-kira dua minggu lepas ketika mereka pulang membersihkan kubur di Teluk Bakong, Ayer Tawar.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi, lori Isuzu ‘Black Maria’ JIM tanpa muatan dipercayai dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin sebelum memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah, dengan lampu suar (beacon) dan siren diaktifkan.

Pada masa sama, sebuah kereta Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau dipercayai tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan lori berkenaan, menyebabkan lori hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah kereta Inokom Matrix.

Tiga mangsa berkenaan Shaik Mohd Firdaus bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, yang sedang berjalan kaki maut di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here