KEMAJUAN pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) berpotensi mewujudkan jurang kuasa pengkomputeran global yang lebih ketara, sekali gus meningkatkan ketidaksamaan antara negara maju dan membangun, khususnya di Selatan Global.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ketidakseimbangan akses terhadap sumber pengkomputeran kini menjadi cabaran semakin mendesak ketika negara di seluruh dunia berlumba-lumba membangunkan dan memanfaatkan teknologi AI.
Menurutnya, isu berkenaan bukan lagi sekadar berkaitan jurang digital tradisional yang tertumpu kepada kemudahan Internet dan akses perkhidmatan digital, sebaliknya turut membabitkan keupayaan sesebuah negara memiliki sumber pengkomputeran mencukupi untuk bersaing dalam pembangunan teknologi berkenaan.
“Satu daripada mesej yang kami dengar amat menarik, bahawa kita bukan sahaja bercakap mengenai jurang ketersambungan atau jurang digital, tetapi kini ia benar-benar menjadi jurang pengkomputeran.
“Ini amat mencabar dan sekiranya banyak negara, terutama di Selatan Global, tidak dapat bersaing seiring serta tiada mekanisme untuk mengimbanginya, kita akan melihat jurang semakin melebar antara mereka yang memilikinya dan mereka yang tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual di luar Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) di Doha, semalam, lapor Bernama.
Mengulas cabaran kawal selia teknologi, Fahmi berkata, kerajaan perlu memastikan peraturan sedia ada mampu bergerak seiring dengan kepesatan perkembangan teknologi, khususnya AI yang menunjukkan kemajuan ketara dalam tempoh singkat.
Katanya, Setiausaha Agung ITU, Doreen Bogdan-Martin turut mengetengahkan kadar perkembangan AI yang signifikan dalam tempoh setahun, sekali gus memperlihatkan keperluan kerajaan membuat persediaan lebih awal bagi menangani risiko baharu.
“Antara cabaran terbesar adalah memastikan pengawalseliaan seiring dengan kemajuan teknologi yang sedang kita saksikan.
“Kita tidak mahu menyekat inovasi dan kemajuan teknologi, tetapi pada masa sama perlu memastikan wujud keseimbangan serta perlindungan mencukupi untuk perniagaan, pasaran dan orang awam,” katanya.
Beliau turut menyentuh perkembangan agentic AI yang membolehkan sistem kecerdasan buatan melaksanakan tugasan serta membuat keputusan secara lebih autonomi, sekali gus menawarkan peluang baharu selain membawa risiko yang perlu ditangani.
Menurutnya, kerajaan perlu bekerjasama dengan pihak industri bagi membangunkan garis panduan dan batasan penggunaan teknologi berkenaan supaya kemajuannya tidak menjejaskan kepentingan manusia.
“Ketakutan terbesar dan peluang terbesar sebenarnya terletak pada apa yang boleh dilakukan oleh agentic AI, apa yang tidak sepatutnya dilakukan dan bagaimana kerajaan boleh memainkan peranan bersama industri untuk membina batasan bagi memastikan penggunaan teknologi AI memberi manfaat kepada umat manusia,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, Malaysia berusaha mendapatkan pemilihan semula sebagai anggota Majlis ITU bagi membolehkan negara terus menyumbang pengalaman dan perspektif, khususnya mewakili rantau Asia Tenggara serta negara-negara Selatan Global dalam perbincangan telekomunikasi antarabangsa.
Katanya, Malaysia yang menjadi ahli ITU sejak 1958 mempunyai pengalaman untuk dikongsi dalam pelbagai bidang termasuk standard teknikal, kepercayaan digital dan saling kendali.
Beliau berkata, penyertaan dalam ITU menyediakan platform penting kepada negara anggota untuk memperkukuh kerjasama serta membangunkan penyelesaian terhadap cabaran semakin kompleks dalam landskap telekomunikasi global.
Mengulas penganjuran ITU PP-26 oleh Qatar yang berlangsung serentak dengan Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Doha 2026, Fahmi memuji usaha negara itu menyediakan ruang kepada peserta meneroka teknologi baharu serta bertukar pandangan dengan menteri dan badan kawal selia telekomunikasi dari pelbagai negara.
Katanya, platform berkenaan turut membuka peluang kepada negara peserta memahami cabaran bersama dan mengenal pasti penyelesaian praktikal menerusi kerjasama antarabangsa.





