CADANGAN pembubaran awal Parlimen perlu dinilai berdasarkan keperluan institusi, kestabilan politik dan kepentingan rakyat, bukannya didorong semata-mata pertimbangan politik kepartian.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban, Dr Mazlan Che Soh berkata, kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat perlu mempunyai ruang mencukupi untuk melaksanakan dasar, menyempurnakan komitmen serta membuktikan pencapaian pentadbiran sebelum mandat baharu diminta.

Menurutnya, Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan tempoh maksimum lima tahun bagi sesuatu penggal Parlimen, melainkan dibubarkan lebih awal, namun peruntukan itu tidak bermakna pembubaran awal semestinya diperlukan dari sudut pentadbiran.
“Kerajaan yang diberikan mandat mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan dasar, menyempurnakan komitmen dan membolehkan rakyat menilai pencapaian pentadbiran berdasarkan hasil yang nyata.
“Pelaksanaan sesuatu dasar awam memerlukan tempoh munasabah, khususnya membabitkan reformasi institusi, pembangunan ekonomi dan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.
Beliau berkata, pembubaran awal Parlimen sememangnya mempunyai asas dalam keadaan tertentu, terutama apabila kerajaan kehilangan sokongan majoriti, berlaku kebuntuan pentadbiran atau wujud keperluan mendapatkan mandat baharu susulan perubahan politik yang mendasar.
Bagaimanapun, katanya, perkara utama yang perlu dipertimbangkan ialah sama ada pembubaran itu benar-benar diperlukan bagi memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan berkesan atau institusi pentadbiran masih berupaya meneruskan tanggungjawab kepada rakyat.
“Pilihan raya merupakan mekanisme penting untuk memperbaharui mandat politik dan memastikan pertanggungjawaban kerajaan, tetapi ia bukan satu-satunya kaedah untuk memastikan kerajaan terus bertanggungjawab sepanjang tempoh pentadbiran.
“Dalam sistem demokrasi berparlimen, kerajaan turut tertakluk kepada mekanisme semak dan imbang menerusi Dewan Rakyat, penelitian belanjawan, perbahasan dasar serta pengawasan institusi,” katanya.
Mengulas implikasi terhadap kesinambungan pentadbiran, Mazlan berkata, pembubaran awal berpotensi mempengaruhi pelaksanaan dasar kerajaan, khususnya inisiatif yang masih berada pada peringkat pelaksanaan atau belum mencapai sasaran ditetapkan.
Katanya, proses dasar awam tidak berakhir sebaik sahaja sesuatu dasar diumumkan, sebaliknya merangkumi penggubalan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian keberkesanan yang lazimnya memerlukan tempoh tertentu.
“Apabila Parlimen dibubarkan lebih awal, terdapat kemungkinan berlakunya penangguhan keputusan perundangan, perubahan keutamaan politik serta ketidaktentuan terhadap hala tuju program kerajaan.
“Walaupun jentera perkhidmatan awam dan fungsi pentadbiran tertentu tetap diteruskan mengikut kerangka perundangan sedia ada, kesinambungan dasar perlu diberikan perhatian supaya pelaksanaan program tidak terjejas,” katanya.
Beliau berkata, antara perkara yang wajar dipertimbangkan ialah kesinambungan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), reformasi institusi, pengukuhan ekonomi serta langkah menangani kos sara hidup rakyat.
Pada masa sama, katanya, pilihan raya awal turut membabitkan kos pengurusan, penggunaan sumber institusi dan kemungkinan perubahan keutamaan pentadbiran yang perlu diambil kira dalam menentukan masa sesuai untuk mendapatkan mandat baharu.
Dari sudut ekonomi politik, Mazlan berkata, ketidaktentuan dasar berpotensi mempengaruhi keyakinan pelabur serta perancangan jangka panjang sektor swasta, meskipun kesannya bergantung kepada keadaan ekonomi, persaingan politik dan kejelasan hala tuju dasar selepas pilihan raya.
“Pembubaran awal tidak semestinya membawa ketidakstabilan kerana dalam keadaan tertentu, pilihan raya boleh menjadi mekanisme menyelesaikan kebuntuan politik dan menghasilkan mandat pentadbiran yang lebih jelas.
“Persoalan utamanya bukan sekadar sama ada Parlimen boleh dibubarkan lebih awal, tetapi apakah implikasi keputusan itu terhadap keupayaan negara mengekalkan kestabilan institusi, melaksanakan dasar secara konsisten dan memenuhi keperluan rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan, kestabilan politik tidak seharusnya ditafsirkan sebagai keadaan kerajaan bebas daripada kritikan, sebaliknya merujuk kepada keupayaan institusi demokrasi untuk terus berfungsi secara berkesan, telus dan bertanggungjawab.
Katanya, rakyat berhak menilai bukan sahaja janji dan perancangan kerajaan, malah sejauh mana komitmen berkenaan berjaya diterjemahkan kepada pencapaian yang dapat dirasai dalam kehidupan seharian.





