AKPS lapor polis salah guna nama KP, pegawai dalam urusan perolehan

AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) membuat laporan polis selepas nama Ketua Pengarah dan pegawainya dipercayai disalahgunakan bagi urusan perolehan kerajaan.

AKPS dalam kenyataannya berkata, pihaknya memandang serius tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang dipercayai menggunakan dokumen palsu untuk meyakinkan syarikat bahawa tawaran perolehan berkenaan adalah urusan rasmi agensi.

Menurutnya, berdasarkan aduan diterima, terdapat syarikat yang sudah menerima dokumen didakwa sebagai surat setuju terima (SST) yang ditandatangani Ketua Pengarah AKPS.

Katanya, dokumen berkenaan membabitkan perolehan antaranya bagi pembekalan jaket pelindung diri taktikal, genset dan alat tulis.

“Dokumen berkenaan dipercayai menggunakan tandatangan Ketua Pengarah AKPS dan pegawai serta kepala surat yang palsu bagi meyakinkan pihak syarikat bahawa tawaran berkenaan adalah urusan rasmi daripada AKPS.

“Susulan itu, satu laporan polis sudah dibuat berhubung penyalahgunaan nama Ketua Pengarah AKPS dan pegawainya. Perkara ini diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

AKPS menegaskan semua urusan perolehan agensi itu dilaksanakan mengikut tatacara, prosedur dan peraturan perolehan kerajaan yang sedang berkuat kuasa.

“Sekiranya terdapat mana-mana pihak menerima sebarang surat tawaran atau SST daripada agensi ini, disarankan untuk membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang komitmen kewangan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pihaknya memandang serius sebarang bentuk penyamaran, pemalsuan dokumen serta penyalahgunaan nama, identiti dan jawatan pegawai AKPS yang boleh menjejaskan reputasi agensi.

“Orang awam juga dinasihatkan untuk lebih berhati-hati bagi mengelakkan terpedaya dengan penipuan seumpama ini,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here