PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha mempertahankan nilai dan jati diri tidak hanya bergantung kepada pegangan agama semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan ilmu pengetahuan serta penguasaan teknologi semasa.
Sehubungan itu beliau menegaskan al-Quran kekal sebagai benteng utama dalam mempertahankan iman, akal serta kesedaran umat Islam, khususnya dalam mendepani cabaran dunia moden.
“Maka kalau pada hari ini kita mahu pertahankan, kita mesti pertahankan dengan kesedaran Islam, kita kena pertahankan dengan ilmu, kita kena pertahankan dengan teknologi baharu.
‘’Mudah-mudahan kita dapat semai semangat ini dalam negara kita supaya setiap kebijakan yang berlaku itu, menginsafkan kita bahawa sesuatu yang lebih harus dilakukan oleh jentera Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan seluruh umat, agar penghayatan daripada tilawah dan bacaan al-Quran itu membawa suatu bentuk pemikiran baharu dalam negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Kebangsaan (MTHQK) 2026 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus.
Perdana Menteri berkata, keseimbangan antara penghayatan al-Quran dan kemajuan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) perlu dilaksanakan dalam kerangka nilai Islam.
“Iaitu mengekalkan dan menambat hati kepada roh Islam yang berpangkal kepada al-Quranul Karim dan dalam masa yang sama gigih menguasai teknologi baharu, teknologi maklumat dan apa yang disebut sebagai ‘Artificial Intelligence’ (AI) dalam kerangka nilai Islam itu sendiri.
“Tidak ada ilmu yang boleh diterima tanpa terikat dengan akal budi, akhlak dan nilai,” katanya.
Seramai 108 peserta dari seluruh negara mengambil bahagian dalam MTHQK 2026, yang berlangsung selama enam hari bermula hari ini hingga Sabtu ini.
Jumlah itu merangkumi 14 qari, 14 qariah serta 80 peserta hafazan yang akan menyertai dalam beberapa kategori termasuk tilawah, selain hafazan 10, 20 dan 30 juzuk berserta tafsir.


