Albert Tei hadapi empat pertuduhan beri suapan RM176,829 kepada Shamsul Iskandar

AHLI  perniagaan Albert Tei dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas empat pertuduhan memberi suapan berjumlah RM176,829.03 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bagi membantu mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Albert Tei Jiann Cheing, 37, mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan satu persatu di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Faham (pertuduhan), saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” kata Tei.

Tei didakwa atas dua pertuduhan memberikan suapan wang tunai RM100,000 dan RM40,000 kepada Shamsul Iskandar, 50, di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin dan di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini antara 24 Nov 2023 dan 29 Jan 2024.

Ia sebagai dorongan bagi Shamsul Iskandar membantu syarikat-syarikat yang tertuduh mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipalnya.

Tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan memberikan satu suapan iaitu kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 kepada individu sama bagi tujuan serupa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dua lokasi iaitu di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini, antara 7 Dis 2023 dan 31 Jan 2024 dan di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya antara 26 Feb 2024 dan 5 Mac 2024.

Kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan mencadangkan ikat jamin RM300,000 untuk Tei yang didakwa gagal memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan berisiko melarikan diri.

Peguam Latheefa Koya menyangkal dakwaan pihak pendakwaan dan menegaskan anak guamnya ialah pemberi maklumat dalam kes membabitkan dirinya dan Shamsul.

“Jika anda lihat pertuduhan, semua maklumat datang daripada anak guam saya. Dia sumber maklumat pertama dan tidak adil mengatakan dia akan mengganggu saksi pendakwaan,” katanya yang memohon mahkamah menetapkan jaminan lebih rendah.

Hakim membenarkan jaminan RM70,000 dengan dua penjamin dan menetapkan sebutan semula kes 8 Jan depan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img