AKADEMI Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dengan Kerjasama Persatuan Alumni ASWARA akan menganjurkan Teater Muzikal Paduka Cik Siti pada 19 Disember hingga 21 Disember 2025 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin , Putrajaya.
Dalam satu kenyataan ASWARA memaklumkan teater muzikal itu merupakan sebuah karya megah yang mengangkat ketokohan dan keberanian seorang Raja wanita Melayu dalam menghadapi tekanan sosial, politik dan cinta pada zamannya.
‘’Ia akan dipersembahkan dengan gabungan lakonan, muzik, tarian, serta estetika visual yang memukau serta naratif yang menyentuh jiwa. Dengan barisan pelakon handal dan berpengalaman , rekaan pentas berskala besar serta sentuhan pengarahan yang bertenaga, produksi yang terlibat adalah gabungan serta kolaborasi yang menyatukan alumni, pensyarah dan pelajar ASWARA,’’ kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut memberitahu, Muzikal Paduka Cik Siti mengisahkan Cik Siti Wan Kembang yang merupakan satu-satunya waris takhta Tanah Serendah Sekebun Bunga, baginda terpaksa mengantikan pemerintahan ayahanda saudaranya almarhum Raja Husein yang mangkat dan demi menyempurnakan pesanan almarhum ayahandanya Raja Ahmad.
Baginda menolak segala pinangan raja-raja yang ingin menyuntingnya tetapi nekad menyahut amanah sebagai Paduka Raja demi negeri yang tercinta. Tugas sebagai Raja Wanita tidaklah semudah yang disangka, cabaran dipersoalkan kewibawaan oleh pembesar sendiri, diancam oleh Siam dan hati yang diragut kesepian kerana cintayang didiamkan.
Demi negeri, segala halangan dan dugaan ditangani dengan bijaksana. Paduka Cik Siti bukan hanya tentang perjuangan wanita memimpin negeri tetapi pengorbanan menundukkan kehendak hati dan perasaan.
‘’Teater Muzikal ini merupakan idea asal dan arahan Che Kem, tulisan oleh Roziah Adama dan Khairunazwan Rodzy , lirik oleh Dr. Hairul Anuar Harun diterajui oleh para pelakon seperti Asmidar, Taqim Zaki, Dr. Norzizi Zulkifli, Shahrul Mizad, Nesa Idrus, Serra Kamal , Zizi Hazirah dan ramai lagi..
‘’Muzikal muzikal ini menjanjikan persembahan berskala besar dan berimpak tinggi.,’’ kata kenyataan itu.
Tiket sedang dijual di https://www.cloudjoi.com/shows/4822-teater-muzikal-paduka- cik-siti pada harga RM40 sehingga RM150.



