Aminuddin percaya rekod pentadbiran mampu yakinkan pengundi

MENTERI Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yakin rekod pentadbiran dan pencapaian kerajaan negeri sepanjang menerajui negeri berkenaan mampu meyakinkan pengundi Linggi menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 esok.

Aminuddin yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata rakyat kini lebih menilai hasil kerja dan kemampuan sesebuah kerajaan membawa perubahan berbanding sekadar janji yang ditawarkan ketika pilihan raya.

Beliau berkata rekod pembangunan yang dilaksanakan di Port Dickson menjadi asas keyakinan untuk membawa Linggi ke fasa pembangunan seterusnya, terutama dalam aspek pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan kemudahan rakyat.

“Kami serahkan kepada rakyat untuk menilai. Apa yang kami bentangkan adalah rekod kerja yang telah dibuat, bukan sekadar janji. Kami mahu teruskan usaha yang telah dimulakan supaya manfaat pembangunan dapat dirasai oleh rakyat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Aminuddin berkata keutamaan selepas ini adalah memperkukuh ekonomi setempat, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta menyediakan kemudahan yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk.

Naib Presiden PKR itu berkata usaha memperkasa pembangunan secara lebih seimbang dipergiat selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri menerusi kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata antara projek berimpak tinggi yang berjaya dibawa ke Port Dickson termasuk pelaburan syarikat teknologi antarabangsa Google di kawasan perindustrian Springhill dan pelaksanaan projek Pelabuhan Pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Aminuddin berkata projek berkenaan bukan sahaja memberi nilai tambah kepada ekonomi setempat, malah membuka ruang kepada lebih banyak pelaburan berkualiti dan peluang pekerjaan berpendapatan kompetitif kepada rakyat.

Pendekatan strategik pentadbirannya adalah memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat diperluas ke seluruh daerah Port Dickson, bermula dari sempadan Sepang, Selangor hingga ke sempadan Melaka.

Menurut Aminuddin, tumpuan selepas ini adalah memastikan kawasan Linggi tidak ketinggalan daripada arus pertumbuhan ekonomi, di samping mengekalkan keseimbangan antara pembangunan dan keperluan komuniti setempat.

“Hasrat dan keutamaan kami adalah memastikan setiap lapisan masyarakat di Linggi merasai manfaat pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan baharu dan taraf hidup yang lebih berdaya saing,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata DUN Linggi adalah kawasan luar bandar merangkumi pelbagai kelompok sosioekonomi termasuk nelayan, petani, pekerja ladang, masyarakat Orang Asli, selain komuniti majmuk Melayu, Cina dan India.

Beliau berkata profil DUN Linggi berbeza dengan DUN Sikamat yang diwakilinya sejak 2008 kerana kawasan itu lebih bersifat pinggir bandar dengan tumpuan penempatan perumahan dan tradisi.

“Antara isu yang sering dihadapi penduduk di kawasan berkenaan (DUN Sikamat) termasuk perumahan serta bencana alam seperti banjir dan angin ribut.

“Di Linggi cabarannya berbeza dan pelbagai. Golongan nelayan memerlukan perhatian terhadap aset dan kemudahan asas seperti bot serta jaring manakala terdapat juga isu perumahan rosak atau pembinaan rumah yang tidak selesai memerlukan tindakan segera,” katanya.

Pada PRN kali ini, Aminuddin berdepan saingan tiga penjuru, iaitu penyandang kerusi daripada Barisan Nasional Datuk Mohd Faizal Ramli dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia Datuk Zamri Md Said.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img