AMK bidas dakwaan Kerajaan MADANI bakal tumbang

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) menyelar kenyataan UMNO Kedah yang menggambarkan Kerajaan MADANI seolah-olah berdepan kejatuhan ekoran tindakan Anthony Loke menawarkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan.

Naib Ketua AMK, Dr Mohammed Taufiq Johari menegaskan, desakan Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri agar Parlimen dibubarkan adalah tidak wajar serta tersasar daripada realiti kestabilan politik semasa.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan menjelaskan bahawa keutuhan pentadbiran negara bergantung sepenuhnya kepada sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, bukannya atas tekanan atau pandangan sesetengah pihak di peringkat negeri.

“Kerajaan Perpaduan kekal memegang mandat tersebut. Pembubaran Parlimen ialah kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak wajar dijadikan alat tekanan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas tindakan Anthony, Mohammed Taufiq menyifatkan ia sebagai bukti kepemimpinan yang berintegriti dan berprinsip, bukannya isyarat perpecahan kerajaan.

Katanya, sebarang keputusan berhubung peletakan jawatan itu bagaimanapun tertakluk kepada pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa kerajaan sedang goyah dan mengetengahkan prestasi ekonomi negara yang kukuh sebagai bukti nyata iaitu Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia melepasi ramalan pasaran dengan mencatatkan 6.0 peratus pada suku kedua 2026, berbanding 5.4 peratus pada suku pertama.

Pencapaian itu, kata Mohammed Taufiq, disifatkan luar biasa memandangkan Malaysia berupaya mengekalkan momentum pertumbuhan di tengah-tengah cabaran rantaian bekalan dan konflik geopolitik global.

“Kerajaan yang dikatakan ‘hampir karam’ tidak mungkin dapat mencatat pertumbuhan ekonomi sedemikian. Inilah kestabilan dasar yang dinikmati rakyat dan dipandang tinggi oleh pelabur,” jelas beliau sambil menambah bahawa pilihan raya mengejut hanya membebankan kewangan negara dan menjejaskan keyakinan pelabur.

Dalam pada itu, beliau menyeru UMNO agar kekal fokus kepada tanggungjawab bersama dalam Kabinet, merujuk kepada komitmen Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.

Mohammed Taufiq turut memberi amaran agar isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan institusi diraja tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

“Rakyat tidak memerlukan pilihan raya yang tercetus daripada drama politik. Yang rakyat perlukan ialah kerajaan yang terus bekerja, ekonomi yang terus mengukuh dan tekanan kos sara hidup yang diurus dengan dasar yang teratur,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here