PERSATUAN Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Selangor menggesa kerajaan meningkatkan peruntukan khas bagi kontraktor Bumiputera G1 hingga G4 kepada RM4 bilion dalam Belanjawan 2027 berbanding RM2.4 bilion pada tahun sebelum ini.
Yang Dipertua PKMM Selangor, Latif Wagiman berkata, langkah itu penting bagi memastikan survival dan kelangsungan 9,469 kontraktor kecil di negeri itu yang bergantung kepada projek penyelenggaraan serta baik pulih infrastruktur asas seperti jalan raya, sistem perparitan, sekolah, dan balai raya.
Beliau turut menyarankan agar mekanisme pengagihan projek dilaksanakan secara lebih telus dan saksama menerusi kaedah undian, sebut harga, serta tender terbuka untuk kontraktor yang layak.
“Kebanyakan kontraktor G1 hingga G4 selama ini melaksanakan projek kecil di kampung dengan hasil yang memuaskan. Justeru, kami berharap kerajaan dapat memberi projek bersesuaian kepada lebih 60 peratus kontraktor ini supaya mereka terus mempunyai kerja dan mampu bertahan,” katanya, lapor Bernama.
Menurut Latif, golongan kontraktor tidak mengharapkan sebarang keistimewaan secara percuma, sebaliknya cuma memerlukan peluang kerja yang adil, kadar harga pasaran yang munasabah, serta proses pembayaran yang tidak mengganggu aliran tunai perniagaan mereka.
Di samping itu, beliau menekankan keperluan sokongan holistik daripada kerajaan merangkumi kemudahan pembiayaan kewangan, latihan kemahiran, penerimaan teknologi baharu, serta pengurusan akaun yang cekap bagi melonjakkan daya saing kontraktor kecil tempatan.
Isu berkaitan industri pembinaan sebelum ini turut mendapat perhatian Kementerian Kerja Raya (KKR) apabila Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan sebanyak 30 cadangan strategik telah diterima untuk dipertimbangkan dalam penyediaan bajet negara kali ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober depan.





