SEORANG anggota polis cedera selepas terjatuh apabila motosikalnya dihimpit kenderaan pacuan empat roda dinaiki sekumpulan lelaki dipercayai terbabit kes curi kabel di Jalan Dorset, Kluang awal pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Husin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 5.45 pagi.
“Berdasarkan siasatan, kejadian curi kabel berlaku jam 1.57 pagi dan suspek menarik kabel itu dengan menggunakan pacuan empat roda. Dipercayai anggota polis terbabit yang cuba mengejar kenderaan itu terjatuh selepas motosikalnya dihimpit.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 353 kanun sama, iaitu menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan atau menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Mohd Azmi turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi polis di talian 07-778 4222, 07-776 6822 (hotline) atau 07-778 4256.
Terdahulu, tular dalam media sosial video memaparkan sekumpulan lelaki menaiki sebuah kenderaan pikap dan melarikan kabel yang diikat pada bahagian belakang kenderaan berkenaan.





