
KAMPUNG halaman saya iaitu Kampung Gajah, Perak semakin meriah sekarang dengan pesta durian setelah Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah dan IGROW mengadakan Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 (KGIDF 2025) yang dirasmikan pada 24 Oktober lalu dan akan berakhir pada 30 November ini.
Kampung Gajah adalah daerah kecil yang menjadi sebahagian kampung di Perak Tengah yang sejak dahulu terkenal sebagai pengeluar durian terbaik di Malaysia. Ketika kami berniaga durian di Kuala Lumpur sekitar tahun 1980an dahulu, kami biasa mendengar nama durian Kampung Gajah dijaja untuk melariskan durian dari negeri lain.
Namun kegemilangan durian Kampung Gajah semakin dilupakan dengan kemunculan jenama baru seperti Musang King, Black Thorn yang kian popular terutama dari Raub, Pahang dan lain-lain.
Banyak yang harus kita pelajari daripada kedua-dua tempat ini iaitu Raub dan Kampung Gajah terutama soal survival pengusaha durian, status tanah pengusaha dan bagaimana kita memainkan peranan untuk mengembangkan industri durian dengan garis panduan dan undang-undang yang ada batasnya.
Kedua-dua daerah ini mempunyai nilai durian yang tinggi tetapi apa yang membezakan Kampung Gajah dan Raub ialah kontroversi undang-undang iaitu di Raub isu peneroka dusun haram masih menjadi polemik yang berpanjangan.

Ini sangat berbeza dengan Kampung Gajah. Rata-rata dusun di sini sejak dahulu adalah berstatus tanah bergeran yang dari segi undang-undangnya bukan haram dari segi tanaman durian itu sendiri dan pemilikannya adalah sah.
Maka, logiknya, kelebihan durian Kampung Gajah ini seharusnya dilonjakkan semula supaya dapat mengatasi industri durian yang bertaraf antarabangsa.
Itulah yang kami lakukan iaitu ‘mengangtarabangsakan’ durian Kampung Gajah melalui KGIDF2025. Usaha-usaha ‘mengantarabangsakan’ durian ini sebenarnya sudah bermula seawal tahun 2017 tetapi Covid-19 dan pertukaran kerajaan telah menyebabkan banyak usaha tersebut terbantut.
Bermula tahun ini, saya bertekad untuk tidak menunggu lagi kerana cabaran pemanasan global (climate change) menjadikan musim durian semakin tidak menentu, di samping industri sampingan yang perlu direbut sebagai peluang perniagaan baharu serta nilai hartanah yang perlu dipertingkatkan pada masa hadapan.
Begitu juga penerapan nilai kepada generasi baru supaya mereka dapat meneruskan legasi warisan ini dengan lebih berilmu, berkemahiran, berteknologi baru dan berwawasan jauh dalam menguruskan industri ini.
Semua itu kami garapkan dalam KGIDF 2025 dengan tema “Durian Menyatukan Kita”. Penyatuannya bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga sehingga ke peringkat antarabangsa.
Di sebalik cabaran dan dugaan besar yang kami hadapi, KGIDF 2025 berjaya mendapat kerjasama jitu daripada pelbagai pihak. Namun, wujud juga cubaan mensabotaj dan memboikot yang saya anggap mungkin telah gagal kerana kami melakukannya dengan penuh strategi dan komited.
Sebagai seorang yang pernah terlatih dalam ketenteraan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika zaman muda saya, strategi perang seperti dalam buku Tsun Tzu: The Art Of War memang sentiasa saya gunakan dan Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya biasa menang akhirnya.

Mungkin latarbelakang asuhan saya dulu dalam kententeraan, adakalanya saya suka dicabar untuk berperang, walaupun selalunya saya cuba mengelak dan menjadi pilihan terakhir bila tiada pilihan. Teringat lagi kata-kata komander yang melatih kami iaitu “Do or Die”.
Penganjuran KGIDF 2025 sudah dimaklumkan kepada semua pihak seawal 20 Januari 2025 dalam satu mesyuarat berkaitan pelancongan di Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah.
Saya bersyukur kerana dapat melihat banyak perkara dan pelbagai gelagat dalam penganjuran KGIDF 2025. Pengajaran paling besar adalah kegagalan bangsa Melayu sendiri untuk memertabatkan khazanah warisan seperti durian Kampung Gajah kerana sikap ego, sombong yang ada dalam diri kita.
Peliknya, dalam isu pekebun haram di Raub, kita juga tertanya-tanya siapakah dalang yang pastinya berkuasa sehingga boleh membiarkan ladang beribu-ribu hektar diusahakan secara haram sekian lama. Jawapannya pastilah ada pada bangsa kita juga.
Saya memberitahu kepada orang kampung saya bahawa kita harus belajar berdikari untuk menentukan nasib bangsa pada masa depan. Saya juga berpesan supaya kita tidak mengalah dengan cabaran kerana datuk-nenek orang Kampung Gajah memang terkenal dengan semangat juangnya sehingga berani menjadi orang Melayu pertama di Tanah Melayu membunuh Residen Inggeris bernama JWW Birch di Pasir Salak, Kampung Gajah, Perak.
Sebab itulah saya menayangkan filem berdurasi 40 minit yang bertajuk ‘Dato’ Sagor-Maruah di Bumi Perak’ di hadapan 500 tetamu festival kami supaya menjadi iktibar kepada orang Melayu tentang semangat juang dalam apa sahaja termasuk membangunkan sosio-ekonomi tanah kampung sendiri.
Peneroka haram Raub berperang dengan cara mereka tetapi kami anak Kampung Gajah berperang secara profesional untuk meningkatkan martabat industri warisan ini. Bukan perang untuk bergaduh tetapi berperang untuk meningkatkan ekonomi tempatan dan menjayakan misi KGIDF 2025.
Semoga usaha terbaik yang kami lakukan dapat dijawab di hadapan Allah nanti. Saya pastinya tidak malu untuk berkata kepada generasi muda akan datang, apa yang saya sudah lakukan yang terbaik untuk ditinggalkan kepada mereka dan sebahagian hasil itu sudahpun dilihat oleh generasi muda hari ini.
Apapun terima kasih kepada semua pihak yang komited untuk menjayakan KGIDF 2025 ini. Komitmen anda telah menampakkan keberhasilannya dalam fasa pertama KGIDF 2025 baru-baru ini. InshaAllah, kerja yang baik akan dilindungi dan diberkati Allah.
*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosio-ekonomi


