Antara haluan bercelaru Bersatu dan gelagat pegawai calon

*Ke mana Bersatu selepas PRN?

PENULIS ‘pening’ tengok perangai Tan Sri Muhyiddin Yassin. Presiden Bersatu itu nampak macam tak mampu nak urus konflik parti tersebut dengan Pas yang kini menerajui Perikatan Nasional (PN)

 Pada 17 Julai lalu berdegar-degar kat Nilai, Muhyiddin kata PN kini sudah menjadi toksik kerana tergelincir daripada asas perjuangan asal.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, walaupun namanya masih PN tetapi bukan lagi PN yang beliau pimpin pada peringkat awal penubuhannya.

‘’Dahulu orang bangga dengan PN dan yakin gabungan itu mampu memenangi banyak kerusi. Pada pandangan saya, keadaan itu sudah agak rosak,’’ katanya

 Sehubungan  Muhyiddin maklumkan Bersatu akan bentuk gabungan baharu yang lebih hebat bersama beberapa parti lain.

“Saya nak berikan gambaran selepas PRN Negeri Sembilan ini, Bersatu tidak berseorangan lagi. Insya-Allah kita akan bentuk satu gabungan hebat… sebagaimana saya sebutkan sewaktu menubuhkan Perikatan Nasional (PN) dulu, banyak pemimpin datang dan antaranya Presiden URIMAI, Prof Dr P Ramasamy yang telah nyatakan kesediaan untuk bersama-sama,” katanya.

Tetapi apabila kempen PRN Negeri Sembilan bermula lain pula nada Muhyiddin, beliau  tak senang bila Chegu Bad sebut, Bersatu mungkin dipecat daripada PN.

Muhyiddin berkata Bersatu tidak boleh dipecat daripada PN tanpa persetujuan semua parti komponen seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan gabungan itu.  Kawan-kawan penulis dalam Bersatu pun dah pening…Muhyiddin nak bawa Bersatu ke mana? Nak kekal dalam PN atau nak tubuh gabungan baru?

Masa kempen pula pemimpin Bersatu asyik dok serang Pas, bukannya nak jelas bersatu nak buat apa kalau dapat tubuh kerajaan di Negeri Sembilan. Penulis fahamla, kalau ikut unjuran setakat ini Bersatu ’hanyut lagi’ selepas PRN Johor…tetapi usahalah kot-kot dapat satu kerusi..okayla juga. Janganlah dah kat Johor tertiarap 0-56, kat Negeri Sembilan tersembam 0-24..campur semua jadi 0-80.

Jadi penulis harap Muhyiddin dan pemimpin Bersatu tumpu dulu PRN NS…ni maruah Bersatu..kalau Wawasan serpihan Bersatu tak menang kerusi tak apa, Wawasan tanding empat kerusi saja..itupun kawasan sengit. Tapi kalau Bersatu tak menang satupun kerusi…’sedihla’ sikit..betul tak?

Soal kedudukan dalam PN fikirlah kemudian sebab seperti mana kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, parti itu tunggu Muhyiddin tunaikan kata-kata nak bentuk gabungan politik baharu selepas PRN Negeri Sembilan,

 Kata Tuan Ibrahim, langkah itu selaras dengan pendirian Muhyiddin yang mendakwa PN telah dirosakkan Pas.

“Kalau PN sudah rosak, tentunya beliau tidak akan terus bersama gabungan yang dianggap sudah rosak. Bagi saya, kita tunggu janji beliau untuk membentuk gabungan politik baharu selepas PRN Negeri Sembilan nanti,” katanya kepada FMT.

Sama-sama kita tunggu apa langkah Muhyiddin selepas PRN tersebut, kalau kena 0-80…rasa Muhyiddin tak perlu tunggu tahun depan nak bersara..lagipun dalam Bersatu dah ada orang layak untuk ganti tempat beliau…siapa? Kita cerita hari lain…

*Apabila pegawai calon ‘perasan’ boss dah YB

KEMPEN PRN Negeri Sembilan  kini memasuki hari-hari terakhir. Sudah pastilah calon-calon semakin sibuk melakukan aktiviti mendekati pengundi.

 Misi mereka ialah meraih undi bagi membolehkan terus  bergelar Yang Berhormat (YB) atau menjadikan YB. Tetapi malangnya sejak kempen bermula pada 18 Julai, macam-macam kisah perangai calon dan pegawainya dibisikkan kepada penulis.

 Tak payahlah penulis sebut siapa dan parti mana. Kalau sebutpun buang masa sahaja sebab penafian adalah ‘makanan’ orang politik .Tapi yang penulis nak sampai bagaimana pengalaman segelintir kawan-kawan dalam media (bukan semua) terpaksa melayani kerenah pegawai calon dan calon itu sendiri.  Walaupun yang buat perangai  segelintir saja tapi ia merimaskan.

 Ada pegawai bersikap macam bos dah jadi YB, yang calon pula belum jadi YB dah buat perangai macam YB. Buat temujanji tak datang-datang. Contoh janji jam 2 petang tak apalah… mungkin calon nak solat zuhur dulu tapi sampai nak masuk maghrib tak nampak ‘batang hidung’…tu apa cerita?

 Ada pula calon yang ubah jadual program, kita faham mungkin ada program lebih penting nak kena tunjuk muka tapi maklumkanlah supaya orang yang kita janji ‘tersidai macam kain kat ampaian…dah hujan pun tak ada orang angkat’,.

 Satu lagi cerita, calon ‘okey’ walaupun dia bertaraf mahu mempertahankan kerusi, tetapi pegawai pula buat perangai….cap jari pun tak kering lagi kerja dengan calon..dah berlagak macam dialah pegawai paling kanan kepada bakal YB.

 Nak buat temujanji dengan calon pun susah, orang Kedah kata pegawai ‘tarik muka 14’, macam tak mahu layan saja. Tetapi bila tanya calon..calon okay saja…cuma minta siap soalan…Minta soalan tu biasa sebab calon tak nak cakap merapu atau tanya lain jawab lain.

 Penulis paparkan bisikan-bisikan ini bukannya nak memburukkan sesiapa atau mana-mana calon atau nak minta layanan Istimewa…tak perlupun..yang penting beri kerjasama….itu saja.

Jadi penulis  harap tinggal baki beberapa lagi ni, pegawai atau calon ubahlah perangai. Media datang bukan nak minta tolong tetapi nak menolong calon-calon. Nak tolong bagi publisiti supaya calon ‘tak ke laut’.

 Walaupun sesetengah kawasan ada calon sebut namapun dah kalah tetapi tak apalah berusahalah perbaiki keadaan, selagi kempen tak berakhir selagi itu peluang terbuka kepada semua calon.

 Dalam pilihan raya  macam-macam boleh berlaku jadi pegawai calon, ingat ‘PIC’ tu bukan sahaja maksud Person In Charge boleh juga ditafsirkan..’Pegawai Ikut CALON’ jadi jangan dok perasan boss dah jadi YB dan yang calon pula jangan dok ‘khayal’ dah jadi YB…takut tukar jadi ‘Yang Bungkus’…Apapun ni teguran ikhlas..jangan ambik hati ye..



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img