DATUK Seri Anwar Ibrahim menyifatkan hubungan Malaysia dan Maldives sebagai istimewa, dengan layanan mesra Presidennya, Dr Mohamed Muizzu sepanjang lawatan rasmi beliau mencerminkan tahap kepercayaan dan persahabatan yang erat antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata, keakraban tersebut turut dapat dilihat menerusi kesediaan Muizzu meluangkan masa bersama beliau sepanjang lawatan, sesuatu yang jarang berlaku ketika kunjungan rasmi seorang pemimpin negara.
Berucap pada majlis jamuan tengah hari yang dianjurkan Muizzu bagi meraikan kunjungannya, Anwar berkata, Malaysia dan Maldives mempunyai persamaan sebagai negara yang relatif kecil, namun saiz bukan penghalang untuk kedua-duanya memainkan peranan di peringkat antarabangsa.
“Sejak malam tadi dan sepanjang pagi ini sehinggalah majlis makan tengah hari ini, anda bersama-sama kami. Jadi, situasi ini menunjukkan persahabatan, kepercayaan dan keakraban luar biasa antara saudara dan saudari.
“Kami memahami keterbatasan kita. Anda berkata negara anda kecil. Malaysia juga agak kecil walaupun lebih besar sedikit daripada Maldives. Namun, kita tidak seharusnya berputus asa. Negara kecil yang berjiwa besar, dan itulah yang diperlukan dunia pada masa ini,” kata Perdana Menteri dalam ucapannya, lapor Bernama.
Menurut Anwar, negara kecil tetap mampu memberi sumbangan kepada dunia menerusi tadbir urus yang baik, sikap bertanggungjawab serta keberanian mempertahankan kebenaran tanpa berpegang kepada prinsip bahawa pihak yang lebih kuat sentiasa benar.
Anwar turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Muizzu dalam usaha membawa perubahan kepada Maldives, yang disifatkan mempunyai potensi besar serta kekayaan alam semula jadi yang menjadi tarikan dunia.
Dalam isu perubahan iklim, beliau berkata, Maldives antara negara yang terkesan walaupun sumbangannya terhadap pelepasan karbon global adalah kecil. Justeru, negara kecil dan membangun perlu lebih tegas memperjuangkan hak rakyat serta kelangsungan hidup mereka.
Kedua-dua negara turut berkongsi pandangan bahawa perkembangan teknologi, pendigitalan dan kecerdasan buatan perlu dilaksanakan seiring dengan nilai agama, moral dan etika.
Lawatan rasmi dua hari Anwar ke Maldives itu merupakan kunjungan sulung beliau ke negara berkenaan sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022 dan berakhir petang ini.
Beliau turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives, Badli Hisham Adam.





