PENULIS amat memahami bahawa Melaka kubu kuat Barisan Nasional (BN), Penulis juga tahu BN dan Pas kini sedang berunding untuk bekerjasama dalam PRN negeri itu tidak lama lagi dan penulis juga terima bahawa sebelum ini Pas menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN).
Tetapi apa yang penulis agak terkejut apabila Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan kesediaan Pas untuk menggunakan lambang BN pada PRN Melaka?
Penulis tertanya-tanya kenapakah sampai ke tahap itu Pas sedia lakukan? Apakah hanya kerana mahu memastikan kerjasama dengan BN, Pas bersedia mengorbankan ‘lambang keramatnya’?
Penulis faham Pas yang menjadi tonggak PN tidak boleh menggunakan lambang gabungan itu kerana digantung kegiatannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tetapi Pas masih boleh guna lambang sendiri jadi kenapa mahu menggunakan lambang BN?Apakah kerana semata-mata mahu memuktamadkan kerjasama dengan BN, Pas sanggup mengenepikan ‘lambang bulan’ yang selama ini menjadi ‘tonggak kekuatan’ Pas. Kalaulah Pas adalah komponen BN, penulis tak kisah…tetapi Pas bukan komponen BN!
Atau adakah Pas terpengaruh dengan andaian kalau guna lambang bulan, mereka tidak akan mendapat undi bukan Melayu. Soalnya sejak bila pula pengundi bukan Melayu mengundi Pas? Kawasan manakah di Melaka yang Pas menang dengan sokongan kaum bukan Melayu?
Di Jasin, Calon Pas Zulkifli Ismail menang Parlimen Jasin dengan majoriti tipis iaitu 320 undi. Jumlah pengundi berdaftar bagi kawasan Parlimen itu adalah seramai 96,208 pengundi.
Pengundi mengikut kaum bagi Parlimen Jasin, Melayu: 74.3%, Cina: 15.4% India: 10% Lain-lain: 0.3% – penulis percaya Zulkifli yang merupakan seorang ulama menang di situ atas undi orang Melayu.
Penulis bukan bercakap soal perkauman tetapi fakta dalam pilihan raya kita. Sama ada Pas menggunakan lambang sendiri atau tidak, parti tetap tidak akan mendapat sokongan bukan Melayu. Kalaulah penggunaan tersebut disebabkan Melaka kubu BN, adakah selepas ini di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang menjadi kubu kuat Pas, BN bersedia menggunakan lambang Pas kononnya atas mahu dasar ‘memuktamadkan’ kerjasama?
Oleh itu kenapa sampai mahu menggunakan lambang BN, kalaupun teruja sangat mahu memastikan kemenangan BN dan menumbangkan PH? Sepatutnya biarlah Wawasan, Gerakan, Pejuang atau MIPP sahaja menggunakan lambang BN bukannya Pas.
Kalaulah betul Pas mahu menggunakan lambang BN, ‘pengorbanan’ yang mahu dilakukan oleh Pas di Melaka itu adalah tidak berbaloi. Malah jangan terkejut jika ia akan menjadi ‘peluru’ kepada parti lawan untuk menyerang Pas. Pasti ramai penyokong BN gembira melihat ‘telatah’ Pas. Penulis tidak tahu apa perasaan penyokong Pas bila mereka terpaksa pula mengusung lambang BN ke sana ke sini ketika berkempen kerana calon Pas menggunakan lambang berkenaan.
Oleh itu adalah wajar jika kepimpinan Pas mengkaji semula kesediaan untuk menggunakan lambang BN di PRN Melaka nanti. Ia memandangkan banyak implikasi yang menanti. Salah satunya jika Pas menang dengan lambang BN, kemenangan itu dianggap kerana lambang tersebut bukan kerana kekuatan Pas. Apa Pas mahu jawab?





