SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang ditemukan tidak sedar diri akibat dihanyutkan arus longkang ke sungai di Taman Ayer Keroh Heights semalam, meninggal dunia malam tadi.
Muhammad Loqman Afandy disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka kira-kira jam 8.09 malam sewaktu menerima rawatan di zon merah hospital.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang semalam, mangsa dikatakan bermain air bersama adiknya, Muhammad Adam Afandi, 10, serta dua rakan berhampiran longkang berkenaan ketika hujan renyai.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, adik mangsa dikatakan terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras longkang, sebelum mangsa cuba menyelamatkannya dengan bantuan seorang rakan.
“Arus deras menyebabkan ketiga-tiga kanak-kanak itu dibawa arus, namun dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri.
“Seorang lagi rakan mereka yang berada agak jauh kemudian mendapatkan bantuan jiran berhampiran sebelum panggilan kecemasan dibuat jam 5.51 petang,” katanya.
Media semalam melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh ke longkang di hadapan rumahnya sebelum dihanyutkan arus ke sungai berhampiran di Taman Ayer Keroh Heights.
Pasukan bomba yang tiba di lokasi melancarkan operasi mencari dan menyelamat, sebelum mangsa ditemui kira-kira 20 minit kemudian dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Bantuan pernafasan kecemasan (CPR) diberikan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka, namun disahkan meninggal dunia malam tadi.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.


