MEMALSUKAN setem cukai antara taktik digunakan sindiket bagi menyeludup arak dan bir tidak berkastam yang membabitkan nilai duti dan cukai lebih RM313,000 dalam dua serbuan di Selangor dan Perak, bulan lalu.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak, Mohd Nadzri Ariffin berkata, dua serbuan dilakukan sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan JKDM Teluk Intan di sebuah kedai runcit di Jalan Bunga Pekan, Banting, Selangor dan sebuah rumah kediaman di Simpang, Taiping.
Katanya, serbuan di Banting kira-kira jam 8.45 pagi pada 17 Julai lalu menemukan minuman keras pelbagai jenama tidak berkastam, termasuk yang berlabel “Malaysia Duty Not Paid” (MDNP) yang hanya dibenarkan dijual di kawasan bebas cukai.
“Turut ditemukan minuman keras yang menggunakan setem cukai disyaki palsu.
“Minuman keras berkenaan dianggarkan bernilai RM221,463 manakala jumlah duti dan cukai sebanyak RM48,277, menjadikan anggaran nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai RM269,741,” katanya dalam sidang media di Pejabat Kastam Teluk Intan, hari ini, lapor Harian Metro.
Menurutnya, semua minuman keras berkenaan disita, manakala seorang lelaki warga tempatan berusia 70 tahun yang juga pemilik kedai runcit itu ditahan bagi membantu siasatan.
“Ada produk yang mempunyai setem cukai tetapi ianya palsu,” katanya.
Bagi kes kedua, beliau berkata, serbuan di sebuah rumah di Taiping dilakukan kira-kira jam 3 petang pada 20 Julai lalu dan menemukan sejumlah bir pelbagai jenama yang tidak berkastam.
Katanya, bir import itu dianggarkan bernilai RM17,131, manakala jumlah duti dan cukai sebanyak RM26,426, menjadikan nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai RM43,557.
“Bir berkenaan tidak dilekatkan dengan setem cukai kastam yang sah sebagaimana dikehendaki di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Pihak JKDM sedang mengesan pemilik premis berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, modus operandi bagi kedua-dua kes adalah menjadikan premis kedai atau rumah kediaman sebagai tempat penyimpanan barangan larangan sebelum barangan berkenaan diedarkan untuk dijual di pasaran tempatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama.





